HAFIZH akan menjalani pemeriksaan perubatan esok.  FOTO Ihsan Aspar
HAFIZH akan menjalani pemeriksaan perubatan esok. FOTO Ihsan Aspar
Ferzalfie Fauzi


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin mengakui perkembangan pemulihannya berjalan dengan baik dan cuba untuk melakukan segalanya sehingga membolehkan dia kembali ke litar secepat mungkin.

Dia yang mewakili pasukan Inde Aspar Team, sama seperti pelumba lain tidak sabar untuk kembali ke Litar Red Bull Ring buat kali kedua walaupun pada aksi pertama berdepan detik yang mengerikan.

"Selepas kemalangan mengerikan ketika perlumbaan hujung minggu lalu (Grand Prix Austria) saya sering mengalami kesakitan di bahagian kaki," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Hafizh yang berusia 26 tahun mengakui selepas kejadian pada hari sama, dia sudah memulakan proses pemulihan kecederaan dan melakukan segalanya agar dia kembali cergas.

"Paling penting pada pemeriksaan perubatan esok saya kembali cergas dan mampu untuk berlumba hujung minggu ini.

"Saya sudah menunjukkan kemajuan dari hari ke hari, tidak banyak tapi sekurang-kurangnya lebih baik berbanding Ahad lalu," katanya yang pernah beraksi dalam saingan MotoGP.

Hafizh ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil berat mengenai dirinya termasuk peminat yang tidak putus-putus menghantar ucapan agar dia kembali sembuh secepat mungkin.

Insiden Ahad lalu bermula selepas pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini terjatuh di selekoh pertama dan jenteranya melintang di atas litar sebelum Hafizh yang ketika itu sedang memecut dengan kelajuan tinggi bersama barisan pelumba lain tidak dapat mengelak dan melanggar jentera Bastianini.

Hafizh kemudian dilihat terpelanting jauh menuju ke tepi litar dan jenteranya berkecai sebelum bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan seketika.

Dia kemudian dikejarkan ke pusat perubatan di litar itu. Perlumbaan kedua di Red Bull Ring iaitu GP Styria akan berlangsung Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 7:31 PM