HAFIZH tekad mahu berikan keputusan yang terbaik buat peminat yang hadir ke litar. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
HAFIZH tekad mahu berikan keputusan yang terbaik buat peminat yang hadir ke litar. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Saiful Affendy SapranKhairil S Iswan dan Fadhli Ishak


SEMANGAT luar biasa Hafizh Syahrin Abdullah pada empat pusingan terakhir menjadi motivasi terbaik kepadanya untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Hafizh yang bermula di petak ke-11, bersaing sengit dengan Fabio Quartararo (Pons HP40) , Xavi Vierge (Tech 3 Racing) dan Isaac Vinales (BE-A-VIP SAG Team) untuk perebutan tempat keenam dan dia dilihat bermati-matian untuk meraih kedudukan terbaik itu sehingga ke garisan penamat.

“Pada dua pusingan terakhir, saya memang bagi apa saja yang saya ada. Ketika itu saya fikir kalau jatuh mungkin bukan rezeki, jika tak jatuh maka ia rezeki saya.

“Saya memang mahukan keputusan paling baik untuk peminat yang hadir ke litar. Tempat keenam ini hadiah terbaik untuk mereka,” kata pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu.

Mengulas lanjut mengenai saingan hari ini, Hafizh mengakui bergelut dan sukar memahami situasi jenteranya ketika awal saingan.

“Pada pertengahan perlumbaan saya hampir-hampir hendak jatuh. Tapi pada penghujung saingan saya dapat perbaiki semula kedudukan. Saya tak mampu untuk mengejar kelompok lima teratas kerana perbezaan jarak masa sudah begitu jauh,” katanya.

HAFIZH akui hampir terjatuh namun dapat kembali kuasai jenteranya. -Foto OSMAN ADNAN
HAFIZH akui hampir terjatuh namun dapat kembali kuasai jenteranya. -Foto OSMAN ADNAN

Perlumbaan dimenangi oleh Miguel Oliveira dari Red Bull KTM Ajo dengan rakan sepasukannya, Brad Binder podium kedua.

Franco Morbidelli dari Marc VDS yang sudah pun mengesahkan kejuaraan dunia sebelum bermulanya perlumbaan selepas pencabar utama, Thomas Luthi (CarXpert Interwetten) disahkan tidak cergas untuk turun berlumba berikutan terjatuh pada sesi kelayakan semalam, meraih tempat ketiga.

Selepas 17 pusingan, Hafizh kekal menduduki tangga ke-11 kedudukan pelumba Moto2 dengan mengumpul 96 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 5:31 PM