Ferzalfie Fauzi


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menghela nafas lega apabila tidak mengalami sebarang kecederaan serius terutama membabitkan tulang patah ketika terbabit dalam insiden mengerikan di saingan Grand Prix (Austria) semalam.

Dia yang mewakili pasukan Inde Aspar Team berasa sangat bernasib baik walaupun insiden berkenaan menyaksikan dia merempuh jentera pelumba lain dan melambung ke atas litar tapi semuanya berada dalam keadaan selamat.

"Saya berasa stabil, nasib baik selepas kemalangan saya tidak mengalami tulang patah. Ia satu kemalangan yang mengerikan. Saya berasa sakit di bahagian pangkal paha dan pada mulanya ingat ia patah tapi sudah disahkan tidak ada sebarang keretakkan.

"Saya akan melalui proses pemulihan untuk melihat sama ada mampu kembali berlumba minggu depan (ini)," kata Hafizh yang juga bekas pelumba MotoGP.

Insiden bermula selepas pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini terjatuh di selekoh pertama dan jenteranya melintang di atas litar sebelum Hafizh yang ketika itu sedang memecut dengan kelajuan tinggi bersama barisan pelumba lain tidak dapat mengelak dan melanggar jentera Bastianini.

Hafizh kemudian dilihat terpelanting jauh menuju ke tepi litar dan jenteranya berkecai sebelum bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan seketika.

Pelumba berusia 26 tahun itu kemudian dikejarkan ke pusat perubatan di litar itu.

HAFIZH Syahrin dibenarkan pulang ke 'motorhome' di Litar Red Bull Ring-Spielberg dengan dirinya dilihat menggunakan tongkat selepas terbabit dalam satu insiden ngeri di perlumbaan Grand Prix (GP) Austria, semalam. FOTO Ihsan SIC
HAFIZH Syahrin dibenarkan pulang ke 'motorhome' di Litar Red Bull Ring-Spielberg dengan dirinya dilihat menggunakan tongkat selepas terbabit dalam satu insiden ngeri di perlumbaan Grand Prix (GP) Austria, semalam. FOTO Ihsan SIC

"Memang berasa sedikit sakit di kedua-dua belah kaki selepas kemalangan itu. Rasa seperti ada kecederan di bahagian dalam mungkin berkaitan ligamen.

"Ia tidak patah tapi berasa macam patah. Saya memerlukan tongkat untuk menyokong saya ketika berjalan. Tapi saya akan cuba melalui proses pemulihan untuk melihat sama ada saya boleh berlumba atau tidak selepas ini," katanya.

Sementara itu, Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali berkata, insiden yang berlaku terhadap Hafizh memang sangat menakutkan.

"Alhamdulillah dia berada dalam keadaan baik. Cuma ada sedikit lebam dan tidak mengalami sebarang keretakkan serius. Ia satu insiden yang kurang bernasib baik buat Hafizh.

"Saya harap dia mampu menjelani pemulihan dengan baik dan kembali berlumba buat kali kedua di Austria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 7:10 PM