HAFIZH  disahkan masih kurang cergas.
HAFIZH disahkan masih kurang cergas.
Ferzalfie Fauzi


HASRAT pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk beraksi di Grand Prix (GP) Styria hujung minggu ini tidak kesampaian apabila dia disahkan kurang cergas.

Melalui laman web rasmi pasukannya Inde Aspar Team, pelumba berusia 26 itu disahkan kurang cergas dan tidak akan beraksi bermula sesi latihan bebas esok hinggalah ke hari perlumbaan Ahad ini.

"Hafizh Syahrin disahkan kurang cergas untuk perlumbaan GP Styria dan dia akan cuba kembali berlumba semula pada GP San Marino (13 September," kata pasukan berkenaan sambil berharap pelumba yang terkenal dengan gelaran Pescao itu agar segera sembuh dan meminta peminat sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Semalam, Hafizh Syahrin mengakui perkembangan pemulihannya berjalan dengan baik dan cuba untuk melakukan segalanya sehingga membolehkan dia kembali ke litar secepat mungkin.

Dia mengakui tidak sabar untuk kembali ke Litar Red Bull Ring buat kali kedua walaupun pada aksi pertama berdepan detik mengerikan.

Bagaimanapun, pemeriksaan perubatan hari ini ternyata tidak menyebelahinya. Insiden Ahad lalu bermula selepas pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini terjatuh di selekoh pertama dan jenteranya melintang di atas litar sebelum Hafizh yang ketika itu sedang memecut dengan kelajuan tinggi bersama barisan pelumba lain tidak dapat mengelak dan melanggar jentera Bastianini.

Hafizh kemudian dilihat terpelanting jauh menuju ke tepi litar dan jenteranya berkecai sebelum bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan seketika.

Pelumba berusia 26 tahun itu kemudian dikejarkan ke pusat perubatan di litar itu. Perlumbaan kedua di Red Bull Ring iaitu GP Styria akan berlangsung Ahad ini.

Pelumba Moto E, Aspar Team, Alejandro Medina akan menggantikan Hafizh Syahrin bagi saingan di GP Styria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 9:01 PM