HAFIZH menatap wajah neneknya buat kali terakhir.
HAFIZH menatap wajah neneknya buat kali terakhir.
Syazwan Msar


HARI cukup sedih buat pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah apabila satu persatu dugaan menimpanya dengan terbaru kehilangan nenek, Arbaieah Muhammad yang meninggal dunia pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsi pelumba terbabit di laman sosial Facebook dan Instagram miliknya dengan turut menyatakan kesedihan di atas pemergian individu yang sentiasa menyokong kariernya sebagai pelumba .

Menerusi luahan hati pelumba berkenaan, arwah seorang nenek yang cukup kuat dan tabah apabila mampu membesarkan 15 cucu sehingga masing-masing berjaya dalam kehidupan.

''Hanya kenangan je yang nenek tinggal untuk Apis, terima kasih nenek membesarkan Apis dan menjaga 15 cucu dan pada masa sama nenek memang sangat kuat.

''Terima kasih nenek tunggu Apis balik, memang sangat berat untuk terima benda ini tapi Apis reda dengan ketentuanNya, Allah lebih sayangkan nenek,'' katanya.

Episod duka Hafizh bermula pada GP Austria lalu apabila pelumba itu yang sedang memecut dengan kelajuan tinggi bersama barisan pelumba lain tidak dapat mengelak dan melanggar jentera pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini yang melintang di tengah litar.

Hafizh kemudian dilihat terpelanting jauh menuju ke tepi litar dan jenteranya berkecai sebelum bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan seketika.

Pelumba berusia 26 tahun itu kemudian dikejarkan ke pusat perubatan di litar itu sebelum disahkan tidak cergas untuk berlumba pada pusingan seterusnya di GP Styria.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 9:51 PM