Hafizh Syahrin jalani pemulihan selepas kemalangan di Austria. FOTO Hafizh Syahrin
Hafizh Syahrin jalani pemulihan selepas kemalangan di Austria. FOTO Hafizh Syahrin
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui semakin pulih daripada kecederaan yang dialaminya selepas terbabit dengan kemalangan ngeri di Grand Prix (GP) Austria 16 Ogos lalu.

Namun apa yang lebih penting, pelumba pasukan Inde Aspar itu akan dapat menemui keluarganya untuk mendapatkan semangat baharu selepas menamatkan tempoh kuarantin di sebuah hotel hari ini.

Dia pulang seketika ke tanah air dua minggu lalu selepas kalendar MotoGP hanya akan bersambung di GP San Marino, 13 September ini.

"Keadaan saya semakin baik, cuma kadang-kadang bila cuba bergerak cepat akan terasa sakit.

"Tetapi ia lebih baik berbanding sebelum ini. Boleh dikatakan setiap hari saya melalui proses pemulihan dengan baik.

"Saya juga boleh berjalan perlahan-lahan tanpa menggunakan tongkat," katanya.

Hafizh berkata, dia tetap melakukan aktiviti senaman ringan untuk memulihkan otot-otot serta menjadikannya lebih cergas.

Pada GP Austria lalu, Hafizh yang ketika itu sedang memecut dengan kelajuan tinggi bersama barisan pelumba lain tidak dapat mengelak dan melanggar jentera pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini yang melintang di tengah litar.

Hafizh kemudian dilihat terpelanting jauh menuju ke tepi litar dan jenteranya berkecai sebelum bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan seketika.

Pelumba berusia 26 tahun itu kemudian dikejarkan ke pusat perubatan di litar itu sebelum disahkan tidak cergas untuk berlumba pada pusingan seterusnya di GP Styria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 3:06 PM