SOLSKJAER puas hati United mara ke separuh akhir Liga Europa. FOTO AFP
SOLSKJAER puas hati United mara ke separuh akhir Liga Europa. FOTO AFP
AFP

BRUNO Fernandes menjaringkan gol melalui sepakan penalti pada masa tambahan bagi membolehkan Manchester United mengatasi FC Copenhagen 1-0 melalui dalam aksi suku akhir Liga Europa sebentar tadi.

Pemain antarabangsa Portugal itu meledak jaringan ketujuhnya dalam kejohanan berkenaan sekali gus membuka peluang buat United ke separuh akhir berdepan sama ada Sevilla atau Wolves.

"Buat kali ketiga musim ini kami ke saingan separuh akhir. Saya sangat gembira kami berjaya mara, kami berhak untuk menang malam ini.

"Penjaga gol mereka sangat hebat, luar biasa. Banyak kali percubaan kami terkena palang, terdapat juga keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak menyebelahi kami. Ia malam yang memerlukan anda tamatkan melalui penentuan sepakan penalti. Mereka membuatkan kami bergelut," kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

Semua saingan suku akhir dan ke atas Liga Europa musim ini diadakan tanpa penonton dengan hanya satu perlawanan diadakan di empat gelanggang di Cologne, Duisburg, Dusseldorf dan Gelsenkirchen dalam format pertandingan yang unik selepas lima bulan tertangguh akibat Covid-19.

Solskjaer menyenaraikan semula Fernandes, Paul Pogba, Marcus Rashford, Mason Greenwood dan Anthony Martial namun juara 2017 itu bergelut pada awal perlawanan dan penyerang Copenhagen berusia 18 tahun, Mohamed Daramy dua kali mengancam kubu United.

Fernandes menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-95 namun pasukan bimbingan Solskjaer dipaksa berpeluh sehingga ke hujung saingan.

Selain percubaan United melalui Fernandes dan pemain gantian, Juan Mata yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Karl-Johan Johnsson, Victor Lindelof pula menjadi pemain ketiga United melakukan mengenai palang.

Menanti mereka Ahad ini salah satu daripadanya ialah Sevilla, yang juga pemegang rekod paling banyak muncul juara iaitu lima kali.

Sevilla akan berdepan musuh domestik United, Wolves dalam satu lagi aksi suku akhir awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 9:20 AM