CECERALLI (kanan) di depan beranding Jacobs (kiri). FOTO Reuters
CECERALLI (kanan) di depan beranding Jacobs (kiri). FOTO Reuters
AFP

Istanbul: Juara 100 meter (m) Sukan Olimpik, Lamont Marcell Jacobs mengalami kekalahan mengejut di tangan rakan senegara dari Itali, Samuele Ceccarelli dalam acara 60m di Kejohanan Dalam Dewan Eropah, awal pagi tadi.

Jacobs, yang kelihatan mengalami kecederaan ketika memenangi aksi separuh akhir di Istanbul, lebih perlahan pada aksi final dengan Ceccarelli bermula pantas dan mencatatkan masa 6.48 saat (s) berbanding Jacobs 6.50s.

Henrik Larsson dari Sweden meraih pingat gangsa dengan masa 6.53s manakala pelari pecut Britain, Reece Prescod, membuat permulaan yang buruk untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir.

Ceccarelli, 23, membuktikan bahawa kemenangannya ke atas Jacobs dalam kejohanan dalam dewan Itali bukanlah kebetulan.

"Saya tak menjangkakan kemenangan ini. Sudah tiga tahun saya tidak dapat melalui musim yang kurang baik kerana kecederaan.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada musim dalam dewan kali ini, jadi saya sangat gembira dengan apa yang berlaku dalam tempoh 50 hari ini," katanya.

Jacobs, yang prestasinya pada musim lalu terjejas akibat kecederaan, mengakui mengalami masalah hamstring.

"Ini bukan pingat yang saya mahukan. Hakikatnya saya mahukan emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 11:06 AM