ADAM ketika menjalani latihan selama dua bulan di kelab FK Crvena Zvezda di Serbia. FOTO Ihsan Adam Hamid
ADAM ketika menjalani latihan selama dua bulan di kelab FK Crvena Zvezda di Serbia. FOTO Ihsan Adam Hamid
Firdaus Hashim


PEMAIN muda negara, Adam Hamid berharap dapat diberi peluang oleh barisan kejurulatihan skuad bawah 19 (B-19) tahun negara untuk membuktikan kemampuannya menjelang Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan, Oktober ini.

Adam, 19, yang kini mengikuti ujian bersama pasukan B-19 kelab FK Crvena Zvezda di Serbia berharap dipanggil oleh pengendali negara, Brad Maloney dalam latihan pusat kedua negara akan datang sekali gus berazam untuk memikat hati jurulatih dari Australia itu.

"Saya sedia untuk menghadiri latihan pusat dan cuba merebut tempat bagi mewakili Malaysia untuk kejohanan AFC Oktober ini.

"Terus terang saya memang teruja dan sedia jika diberi peluang oleh barisan jurulatih.

"Buat masa ini, saya berada di Malaysia kerana terpaksa pulang akibat pandemik Covid-19 dan dijangka berangkat kembali ke Serbia untuk meneruskan ujian bersama pasukan FK Crvena Zvezda tak lama lagi," katanya yang beraksi di posisi tengah.

Mengulas lanjut mengenai kemampuan Adam, ejennya Faidauz Azhar dari Exeliq Sports Management Sdn Bhd berkata, tonggak yang berasal dari Petaling Jaya itu mampu menambah kekuatan pasukan negara jika diberi peluang.

Malah, berdasarkan penilaian jurulatih di FK Crvena Zvezda, Adam dijangka tidak berdepan masalah untuk ditawarkan kontrak profesional oleh kelab utama Serbia itu.

"Sepanjang tiga bulan (Januari-Mac) awal tahun ini di Serbia, dia (Adam) berjaya menyesuaikan diri dengan cara permainan pasukan dan mendapat pujian dari jurulatih di sana.

"Matlamat Adam adalah untuk mendapatkan kontrak bersama pasukan profesional di Serbia selepas tamat ujian nanti. Peluang nampak positif dan dia bekerja keras untuk mencapai impiannya.

"Disamping itu, dia juga harap dapat mewakili Malaysia dalam masa terdekat khususnya dalam kejohanan AFC B-19 nanti di Uzbekistan dan berharap dapat diberikan peluang untuk menunjukan bakatnya pada barisan kejurulatihan kebangsaan," kata Faidauz.

Terdahulu, Maloney mengumumkan senarai 35 pemain bagi kem latihan fasa pertama dengan memanggil 21 pemain baru untuk menguji kemampuan mereka.

Daripada 21 tonggak itu, tiga daripadanya adalah pemain yang berpengkalan di luar negara iaitu pelatih Akademi Bolasepak BISP Cruizero di Brazil, Muhammad Adam Nadzmi Zamri dan Wan Kuzri Wan Kamal yang kini menimba pengalaman bersama Akademi Bolasepak St Louis di Amerika Syarikat.

Manakala, seorang lagi pemain yang jarang mendapat perhatian iaitu Zachry Raiff Ghazie Yeoh dari Brooke House College Football Academy di England turut disenaraikan oleh Maloney.

Pada pusingan akhir AFC itu nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D bersama-sama Qatar, Tajikistan dan Yaman dengan skuad negara menyasarkan mara ke separuh akhir sekali gus layak ke Piala Dunia B-20 di Indonesia, tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 11:07 PM