ROSSI akui sudah mula mengadakan perbincangan dengan Petronas Yamaha SRT. FOTO AFP
ROSSI akui sudah mula mengadakan perbincangan dengan Petronas Yamaha SRT. FOTO AFP
AFP

JUARA dunia sembilan kali, Valentino Rossi berkata, dia 99 peratus pasti akan beraksi dalam saingan MotoGP musim depan, walaupun tidak lagi beraksi dengan pasukan utama Yamaha pada 2021.

Pelumba berusia 41 tahun itu berkata, dia bersedia untuk beraksi bersama pasukan satelit Yamaha.

Tempatnya akan digantikan dengan pelumba muda Perancis, Fabio Quartararo tahun depan.

"Saya mahu terus berlumba dan ia sudah pasti saya akan bersama dengan Yamaha Petronas pada 2021.

"Kami ada berbincang dengan wakil dari pasukan Petronas, cuma ia masih belum sah saya sudah menandatanganinya, masih belum sampai ke tahap itu.

"Buat masa sekarang kami hanya berbincang tapi saya boleh katakan 99 peratus saya akan masih beraksi di litar musim depan," kata Rossi.

Rossi hanya menduduki tempat ketujuh bagi kedudukan keseluruhan musim lalu dan kali terakhir mencatat kejuaraan ke-89 pada Grand Prix (GP) Belanda pada 2017.

Saingan MotoGP 2020 akan membuka tirai hujung minggu ini Litar Jerez, Sepanyol selepas terjejas akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 9:42 AM