ABDUL Rahman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Sanusi selepas mengadakan kunjungan hormat bersama delegasi KFA ke pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman, petang semalam. FOTO Ikhsan Media KFA
ABDUL Rahman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Sanusi selepas mengadakan kunjungan hormat bersama delegasi KFA ke pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman, petang semalam. FOTO Ikhsan Media KFA
Izzali Ismail

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) bakal mengadakan Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM) pada 12 Julai ini bagi melantik presiden baharu selepas mengumumkan kekosongan jawatan tertinggi berkenaan pada Mesyuarat Eksekutif KFA yang diadakan Jun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh media KFA semalam, sekretariat persatuan membuka pencalonan jawatan Presiden termasuk satu lagi jawatan iaitu Naib Presiden mengikut tempoh yang ditetapkan, dimana kedua-dua jawatan itu bakal ditentukan melalui pemilihan oleh 36 ahli gabungan persatuan pada EGM itu nanti.

Selain dua jawatan berkenaan, jawatan Setiausaha Kehormat juga akan ditentukan pada hari yang sama dimana pemilihan jawatan penting ini adalah keistimewaan hak lantikan oleh Presiden dan tidak dipertandingkan.

"Sekretariat KFA mengambil langkah sewajarnya dengan membuka pencalonan kepada ahli gabungan persatuan sejurus disahkan terdapat tiga kekosongan jawatan itu mengikut jangka masa ditetapkan statut KFA.

"Selepas tamat tempoh pencalonan baru-baru ini, KFA melalui Kongres Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada 12 Julai ini akan mengadakan pemilihan melantik Presiden KFA dan Naib Presiden KFA yang baharu, manakala jawatan Setiausaha Kehormat adalah keistimewaan hak lantikan Presiden dan tidak dipertandingkan." katanya

Dalam perkembangan yang sama pihak KFA yang diketuai oleh Timbalan Presiden KFA Datuk Abdul Rahman Abdullah mengadakan lawatan kunjung hormat delegasi KFA terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman, Alor Setar petang semalam.

"Delegasi yang diketuai Timbalan Presiden KFA ini bertujuan mengadakan kunjungan beramah mesra dan membentangkan perjalanan pentadbiran semasa KFA selepas berlakunya peralihan beberapa jawatan penting dalam persatuan.

"Reaksi positif, cakna dan prihatin dengan sejarah bola sepak serta isu-isu pentadbiran persatuan, memberi petanda komitmen beliau (Menteri Besar) dan seterusnya untuk melancarkan pentadbiran bola sepak Kedah." katanya.

Tiga jawatan tertinggi KFA sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku bekas Presiden, Anas Hafiz Mustaffa bekas Naib Presiden dan Asmirul Anuar Aris yang juga bekas Setiausaha Kehormat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 12:43 PM