SETIEN mengakui Messi, Griezmann tidak ada menyebut mengenai perpindahan. FOTO AFP
SETIEN mengakui Messi, Griezmann tidak ada menyebut mengenai perpindahan. FOTO AFP
AFP

JURULATIH Barcelona, Quique Setien meredakan spekulasi mengenai masa depan Lionel Messi dan Antoine Griezmann.

Kontrak Messi dijangka tamat tahun depan dan berdasarkan laporan stesen radio Sepanyol, Cadena Ser, pemain antarabangsa Argentina itu menghentikan perbincangan kerana kecewa dengan arah tuju kelab berkenaan.

Ditanya mengenai perancangan Messi untuk meninggalkan Argentina, Setien berkata, beliau tidak mendengar berita berkenaan.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi kerana tidak mendengar berita darinya, jadi saya tidak tahu dia ada menyebut mengenai perkara itu.

"Saya melihat semuanya berjalan lancar, perkara lain hanya spekulasi di mana ia tidak ada kena mengena dengan saya. Kami hanya berbincang mengenai apa yang sepatutnya, tidak ada perkara lain," kata Setien.

Kedudukan Griezmann juga masih lagi menjadi tanda tanya selepas kecewa pada penampilan musim pertama sejak berpindah dari Atletico Madrid.

"Dia tenang, saya sentiasa bertukar pendapat dengannya. Dia sangat profesional. Dia faham situasi kerana sudah melihatnya sebelum ini.

"Saya tidak mahu memberi kesan kepadanya kerana dia seoranga yang positif. Kami boleh berharap kepadanya 100 peratus," kata Setien mengenai Griezmann.

Griezmann diletakkan di bangku simpanan dalam tiga daripada empat perlawanan Barcelona, termasuk ketika menentang Sevilla dan Atletico yang menyaksikan The Catalans mencatat keputusan seri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 12:09 AM