MESSI masih kekal beraksi di Barcelona. FOTO AFP
MESSI masih kekal beraksi di Barcelona. FOTO AFP
AFP

Madrid: Ronald Koeman mengakui tidak pasti sama ada Lionel Messi akan meninggalkan Barcelona pada musim panas dan berkata bukanlah tugasnya untuk memujuk bintang Argentina itu kekal bersama kelab.

Messi pernah mengambil keputusan untuk meninggalkan Barcelona pada musim panas sebelum kembali mengubah keputusan.

Dia boleh mengadakan perbincangan dengan mana-mana kelab pada Januari depan dan menjadi ejen bebas apabila kontraknya berakhir Jun depan dengan Manchester City berminat mendapatkan khidmatnya.

"Messi masih terikat dengan kontrak dan pada pendapat saya, dia akan kekal," kata Koeman pada sidang media menjelang perlawanan La Liga bertemu Atletico Madrid.

"Tapi saya bukanlah individu yang akan berusaha memastikannya kekal di sini. Sama-sama kita melihat perkembangan masa depannya.

"Apapun, dia masih pemain Barcelona. Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku dengan masa depan Messi," katanya.

Selepas penerbangan yang panjang untuk kembali ke Barcelona daripada tugasan antarabangsa, Messi bengang apabila ditanya hubungannya dengan penyerang Perancis, Antoine Griezmann.

Bekas ejen Griezmann mendakwa Messi sukar untuk bergandingan dengan Griezmann di Barcelona apabila pemain itu sendiri menyatakan: "Saya rasa penat sentiasa menjadi masalah kepada kelab."

Mengulas perkara itu, Koeman berkata: "Saya memahami mengapa Leo merungut. Orang ramai sepatutnya menunjukkan rasa lebih hormat kepada pemain seperti Lionel Messi.

"Selepas perjalanan yang panjang, bertanya kepada Messi tentang Antoine adalah kurang elok dan mungkin akan mencetuskan kontroversi.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan kedua-duanya, tidak di bilik persalinan atau di padang latihan. Mereka berdua masih mempunyai kerjasama yang baik."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 12:31 PM