WINDSOR berkata setakat ini jumlah yang sepatutnya diterima oleh setiap pasukan masih lagi dalam perbincangan. FOTO Owee Ah Chun
WINDSOR berkata setakat ini jumlah yang sepatutnya diterima oleh setiap pasukan masih lagi dalam perbincangan. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


JANGAN terlalu mengharapkan bantuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila badan induk itu mengesahkan pengagihan dana berkenaan mengambil tempoh yang lama kerana perlu melalui pelbagai tapisan sebelum keputusan diumumkan.

Bantuan berkenaan akan diberikan untuk diagihkan kepada pasukan yang layak sahaja berdasarkan kepada beberapa kriteria ditetapkan.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John berkata, setakat ini jumlah yang sepatutnya diterima oleh setiap pasukan masih lagi dalam perbincangan sekali gus memerlukan sedikit masa sebelum dana terbabit diagihkan.

Beliau berkata, pasukan bola sepak tidak perlu bimbang kerana dana berkenaan ada dan ia khusus kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Setakat ini, kita sudah mengadakan dua kali siri perbincangan bersama wakil FIFA bagi mencari mekanisma berkesan dalam pengagihan bantuan terbabit.

"Kami memahami bantuan berkenaan amat diperlukan oleh pasukan memandangkan mereka terjejas teruk apabila perlawanan terpaksa ditunda selain tiada penajaan.

"Namun diingatkan kepada pasukan jangan terlalu mengharap kerana mungkin mengambil masa lama sebelum bantuan itu dapat diagihkan nanti," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan mengenai bantuan talian hayat' apabila rancangan FIFA menyuntik dana untuk membantu pasukan bagi membantu memulihkan industri sukan nombor satu itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Ketika ini hampir semua liga utama seluruh dunia sudah 'tutup kedai' untuk sementara waktu seterusnya menjejaskan pendapatan pasukan hingga mendorong gaji pemain turut dipotong.

Bukan setakat pasukan Liga Malaysia (Liga M), malah pasukan terkemuka Eropah turut terkena 'tempias' apabila beberapa pasukan sudah mula menguatkuasakan pemotongan gaji seperti Juventus, Barcelona, Bayern Munich dan juga Borussia Dortmund.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 5:44 PM