ALVES jalani ujian calitan di Brazil.
ALVES jalani ujian calitan di Brazil.
Izzali Ismail


SKUAD Kedah masih menunggu dua pemain importnya, Renan Alves dan Amin Nazari untuk menjalani latihan fasa satu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak, dua pemain berkenaan dijangka akan kembali bersama pasukan dari luar negara dalam tempoh terdekat selepas urusan kemasukan mereka yang diuruskan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendapat kelulusan mengikut perturan ditetapkan.

"Pemain import Renan Alves dari Brazil kini sedang menunggu keputusan ujian (swab test) yang dilakukan di negaranya sebelum dapat memasuki semula ke Malaysia.

"Selain Alves, seorang lagi pemain kuota Asia warga Filipina iaitu Amin Nazari juga difahamkan sudah mendapat keputusan ujian swab dan dijangka akan tiba pada bila-bila masa," katanya ketika ditemui di Stadium Darul Aman.

Aidil turut memaklumkan beliau sendiri juga telah menjalani ujian swab berkenaan di Singapura sebelum memasuki Malaysia dan mengikut segala peraturan prosedur ditetapkan imigresen Malaysia sebelum dapat memasuki negara ini untuk menjalankan tugas.

"Jadi mereka berdua yang berada di negara masing-masing perlu mendapatkan terlebih dahulu keputusan ujian swab berkenaan sebelum dapat kembali ke Malaysia bagi menjalani latihan bersama pasukan.

"Saya jangkakan Alves akan kembali ke Kedah minggu depan dan Amin Nazari pula dalam tempoh lebih awal. Saya berdoa agar segala proses mereka lalui mengikut prosedur akan berjalan dengan lancar agar dapat kembali semula bersama pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 3:01 PM