Aidil Sharin Sahak (kiri) memberi penerangan kepada pemainnya ketika sesi latihan. FOTO NSTP.
Aidil Sharin Sahak (kiri) memberi penerangan kepada pemainnya ketika sesi latihan. FOTO NSTP.
Izzali Ismail


KEKUATAN mental serta fokus yang tinggi dalam perlawanan menjadi persiapan utama Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak apabila melayan kunjungan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Stadium Darul Aman selepas bermulanya kembali aksi Liga Super pada 29 Mac ini.

"Kita bakal melalui ujian hebat bertemu JDT pada hujung bulan ini dan Insya-Allah kita sedang berusaha melakukan persediaan secukupnya seperti yang dirancangkan.

"Kekuatan mental merupakan antara aspek yang perlu terus dipertingkatkan dan ini mampu kita capai selepas melalui program-program serta tiga perlawanan persahabatan sepanjang 'Jelajah Lembah Klang' selama seminggu ini.

“Pasukan menunjukkan perkembangan baik dan bersungguh-sungguh mahu mencapai komitmen yang tinggi untuk mencipta kejayaan.” katanya.

Ditanya berkaitan impak kekalahan 0-1 Kedah kepada Pahang sebelum ini sewaktu ketiadaan pemain import Renan Alves yang menjalani hukuman penggantungan kad merah Aidil Sharin berkata, beliau tetap yakin barisan pertahanannya bersedia mempamerkan prestasi yang dirancangkan pada kali ini.

"Dengan fokus serta persediaan mental yang berkesan, saya yakin barisan pertahanan kita lebih bersedia menghadapi sebarang cabaran yang ada pada kali ini.

“Ketiadaan Alves memberi cabaran baharu untuk semua pemain bersatu padu dan bangkit dengan lebih bersemangat dalam mengatur strategi mempertahankan kubu pasukan.

"Apa yang saya lihat bukan sahaja pemain pertahan malah semua pemain lain kini semakin fokus dan berbekalkan keserasian yang dibina sejak awal musim ini, saya lihat mereka membentuk pasukan dengan lebih baik." katanya.

Melalui dua perlawanan persahabatan yang diatur Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum ini skuad Lang Merah berjaya menewaskan Negeri Sembilan 1-0 pada 17 Mac dan menewaskan UiTM FC 2-0 pada 18 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 7:28 PM