Muhamad Fuad Mohd Redzuan
Muhamad Fuad Mohd Redzuan
Mohd Amin Jalil


PETINJU kebangsaan, Muhamad Fuad Mohd Redzuan menyambut baik usaha Persatuan Tinju Amatur Malaysia (Ptam) yang bercadang mengambil jurulatih asing bagi melatih skuad kebangsaan.

Petinju berasal dari Negeri Sembilan berusia 29 tahun itu berkata, sokongan itu bukan bermakna latihan dan bimbingan yang diterima daripada jurulatih sekarang, Azmi Md Yunus, sudah menurun, sebaliknya ia suatu bentuk perubahan ke arah meningkatkan lagi pencapaian skuad tinju.

"Secara peribadi, saya sambut baik cadangan persatuan untuk mengambil jurulatih luar, bagi membolehkan peluang atlet berlatih ke luar negara lebih cerah pada masa depan.

"Selain itu, atlet juga dapat mengikuti corak latihan baharu yang dibawa jurulatih asing berkenaan dan sesuatu yang baharu itu penting untuk mana-mana atlet bagi meningkatkan lagi prestasi dan pencapaian yang diinginkan," katanya.

Muhamad Fuad berkata, dia tiada masalah dari negara mana jurulatih yang ingin dibawa masuk tetapi biarlah mereka yang berpengalaman dan mempunyai rekod baik di pentas antarabangsa.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu menyifatkan, ketika ini adalah masa sesuai untuk membawa masuk jurulatih asing kerana tiada kejohanan yang perlu dihadapi susulan penularan pandemik Covid-19.

Dia yang akan beraksi dalam kategori baharu 52 kilogram (kg) selepas hampir 10 tahun beraksi bagi 49kg, akui petinju juga mempunyai tempoh mencukupi untuk mengikuti latihan dengan corak dan taktikal yang akan dibawa jurulatih berkenaan.

"Tempoh lebih enam bulan sehingga akhir tahun sudah tentu memberi masa mencukupi kepada semua petinju mendapatkan rentak terbaik sebelum menghadapi apa juga kejohanan yang akan diadakan tahun depan," katanya.

Tambah Muhammad Fuad, ketika ini dia bersama lapan lagi petinju dalam skuad elit kebangsaan, sedang dalam persiapan untuk memulakan latihan pusat, di Kuala Lumpur, Isnin ini.

"Buat sementara ini, fokus latihan kami adalah untuk persiapan Sukan Sea 2021," katanya yang mengakui hasil bimbingan Azmi selama 15 tahun, membolehkan dia menjadi petinju yang dihormati sekarang.

Dalam laporan media sebelum ini, Pengurus skuad tinju kebangsaan Mohd Iruan Zulkifli menjelaskan mengenai hasrat Ptam untuk mengambil jurulatih luar bagi melatih skuad elit kebangsaan, manakala Azmi bakal mengendalikan skuad pelapis.

Dalam kenyataannya itu, beliau memaklumkan bahawa terdapat enam calon dari beberapa negara antaranya Kazakhstan, Rusia dan Cuba sudah dikenal pasti, namun pengumuman rasmi akan dibuat selepas mereka mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 7:04 PM