MUHAMAD FUAD MOHD REDZUAN
MUHAMAD FUAD MOHD REDZUAN
Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Pemenang pingat emas acara tinju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Muhamad Fuad Mohd Redzuan menetapkan sasaran layak ke suku akhir Sukan Asia 2018, di Indonesia, bermula 18 Ogos hingga 2 September depan.

Petinju berasal dari Negeri Sembilan itu mengakui sasaran yang ditetapkan itu dianggap realistik kerana saingan dalam acara berkenaan amat sengit terutama dari Thailand dan Kazakhstan.

Selain itu katanya, dia dijangka menjadi wakil tunggal negara dalam acara terbabit berdasarkan persiapan yang dilakukan oleh Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM).

“Cabaran bagi persiapan menghadapi Sukan Asia kali ini agak berbeza apabila Persekutuan Tinju Amatur Malaysia hanya menamakan saya selaku wakil tunggal negara di Sukan Asia,” kata Fuad.

“Memang rasa janggal sedikit sebab saya fokus seorang diri untuk Sukan Asia ini dan tiada kawan-kawan untuk kongsi pendapat dan idea. Saya rasa sangat berbeza.

“Tetapi saya tetap lega kerana mendapat peluang membawa cabaran negara. Walaupun wakil tunggal, saya perlu lebih fokus dalam latihan dan bekerja keras meningkatkan prestasi untuk memastikan sasaran yang ditetapkan itu boleh direalisasikan.”

Ketika ini, Fuad sedang menjalani latihan intensif fasa akhir di Indonesia selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu dan dia turut menyertai beberapa kejohanan tempatan di negara terbabit.

Menurutnya, dia berdepan cabaran sengit untuk mencapai tahap prestasi terbaik selepas sebelum ini mengalami kecederaan retak di bahagian muka ketika saingan pra-Sukan Asia sehingga terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel di Australia, April lalu.

“Setakat ini latihan di bawah bimbingan Azmi Md Yunus itu berjalan lancar dan prestasi saya semakin baik, namun dianggap amat mencabar kerana berlatih seorang diri tanpa petinju lain.

“Saya amat berharap mampu mencapai tahap prestasi terbaik menjelang termasya itu nanti,’ katanya.

Fuad mencatat sejarah apabila merangkul pingat emas kategori light fly 49 kilogram (kg) yang pertama dalam sejarah tinju negara di KL2017 selepas dia menewaskan petinju Thailand, Thani Narinram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 3:46 PM