IRUAN  (dua dari kiri)  bersama Azmi (dua dari kanan)  pada sidang media 'Team Malaysia Sukan Sea 2019' di  Bukit Jalil tahun lalu.
IRUAN (dua dari kiri) bersama Azmi (dua dari kanan) pada sidang media 'Team Malaysia Sukan Sea 2019' di Bukit Jalil tahun lalu.
BERNAMA

PERSATUAN Tinju Amatur Malaysia (PTAM) merancang mengambil jurulatih asing bagi melatih skuad elit kebangsaan untuk menghadapi beberapa kejohanan tahun depan.

Pengurus skuad tinju kebangsaan Mohd Iruan Zulkifli berkata, enam calon dari beberapa negara telah dikenal pasti dan pengumuman rasmi akan dibuat selepas mereka mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kita tidak mahu peristiwa lampau berulang kembali, di mana jurulatih asing yang dibawa masuk oleh PTAM gagal menghadirkan kejayaan besar untuk skuad kebangsaan.

"Kita telah mengenal pasti beberapa jurulatih dari Kazakhstan, Rusia dan Cuba. Senarai akhir akan diumumkan dalam tempoh terdekat, setelah kita mendapat persetujuan daripada MSN," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Iruan berkata, Azmi Md Yunus yang melatih skuad elit kebangsaan sejak 2017 dijangka menggalas tugas membimbing skuad pelapis.

Pencapaian terbaik Azmi adalah membantu Malaysia meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Ditanya mengenai perancangan PTAM, Mohd Iruan mendedahkan mereka masih menunggu lampu hijau daripada kerajaan sebelum menganjurkan sebarang pertandingan tempatan pada tahun ini.

"Skuad kebangsaan akan kekal berlatih di negara ini memandangkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara.

"Namun kita berharap pihak kerajaan dapat memberi lampu hijau kepada kita untuk menganjurkan kejohanan tempatan bagi memastikan petinju kita kekal cergas terutamanya bagi menghadapi Sukan Sea 2021 di Vietnam," kata Mohd Iruan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 5:52 PM