Mohammad Rifdean atlet Muay Thai yang kini di ranking nombor satu dunia bagi kategori 46 kg. FOTO NSTP
Mohammad Rifdean atlet Muay Thai yang kini di ranking nombor satu dunia bagi kategori 46 kg. FOTO NSTP
BERNAMA

PERSEKUTUAN Tinju Amatur Malaysia (PTAM) terbuka menerima jaguh Muay Thai negara, Mohammad Rifdean Masdor untuk diserapkan dalam skuad tinju kebangsaan.

Presiden PTAM Mohd Iruan Zulkefli, bagaimanapun berkata Mohammad Rifdean perlu melalui beberapa proses sebelum boleh diterima masuk ke sukan tinju kerana pada dasarnya, terdapat sedikit perbezaan antara sukan berkenaan dengan Muay Thai.

"Kita tidak boleh ambil atlet dan terus diletakkan dalam Program Podium, walaupun dalam sukan asal, dia sangat bagus. Mungkin kita boleh letakkan dia di peringkat pelapis dahulu. Tapi pada masa sama, beliau kena tunjukkan komitmen untuk belajar sukan tinju.

"Tinju dan Muay Thai dua sukan berbeza. Jadi komitmen daripada atlet itu sendiri yang penting kerana kami daripada pihak persatuan tiada masalah, terutamanya menerima atlet yang bagus untuk kepentingan atlet dan negara," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) bercadang untuk mengetengahkan atlet nombor satu dunia kategori 46 kg, Mohammad Rifdean kepada sukan tinju dalam usaha membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Untuk rekod, kali terakhir peninju negara layak ke Sukan Olimpik ialah menerusi Sapok Biki pada temasya edisi 1996 di Atlanta.

Meskipun belum pernah melihat aksi Mohammad Ridfean di gelanggang, Mohd Iruan percaya dan mengetahui kehebatan atlet berusia 18 tahun itu.

Mohd Iruan menjelaskan memang ada atlet daripada sukan Muay Thai beralih ke sukan tinju namun mereka perlu menghadapi beberapa cabaran seperti dalam tinju tidak dibenarkan menggunakan kaki ketika beraksi.

"Muay Thai boleh guna kaki jadi dia kena ubah kalau masuk tinju, takut nanti masuk gelanggang tinju dia angkat kaki.

"Itu antara cabaran akan dihadapi Mohammad Rifdean tapi sebenarnya untuk masa depan, dia sesuai untuk sukan tinju sebab Muay Thai hanya (dipertandingkan) sampai Sukan Sea sedangkan tinju sehingga Sukan Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 5:54 PM