Jasazrin tidak mahu FELDA kehilangan tiga mata. FOTO NSTP
Jasazrin tidak mahu FELDA kehilangan tiga mata. FOTO NSTP
Asrol Awang


FELDA United FC menghormati Selangor apabila kedua-dua bertembung pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, Ahad ini.

Biarpun rekod dua pertemuan memihak kepada The Fighters musim ini, kelab itu tidak mahu terlalu yakin dalam misi mengutip tiga mata.

Pemain tengah, Jasazrin Jamaluddin berkata, situasi kali ini berbeza dengan peningkatan prestasi dipersembahkan skuad kendalian B Sathianathan itu.

"Mereka dilihat semakin konsisten yang memerlukan kami lebih bersedia untuk memastikan The Fighters tidak kehilangan mata di laman sendiri.

"Saya akui kami menang dan seri sekali dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini tetapi ia tidak bermakna perlawanan kali ketiga ini akan menyebelahi FELDA United.

"Apa yang perlu kami lakukan ialah mengikut arahan dan percaturan jurulatih (Mohd Nidzam Jamil) bagi mengelak dikecewakan," katanya.

Jasazrin, bekas pemain kebangsaan berkata, dia bersama rakan sepasukan akan memastikan jentera pasukan terutama di bahagian serangan kembali berbisa.

Katanya, kehadiran Khairul Amri Kamal yang pulih daripada kecederaan diyakini mampu untuk memberi ancancam kepada lawan.

"Sebagai pasukan tangga tercorot liga, kami tidak boleh lagi kehilangan mata dan perlu menjadikan perlawanan dengan Selangor sebagai motivasi untuk FELDA United melakukan kebangkitan.

"Kami akan mempamerkan prestasi terbaik untuk merekodkan kemenangan ke atas Red Giants," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 2:46 PM