Mohd Asmirul (tengah) menunjukkan aksi sukan Muaythai selepas sidang media Kejohanan LorenXo Muay Thai Challenge 2019 di Keriang Hill, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Mohd Asmirul (tengah) menunjukkan aksi sukan Muaythai selepas sidang media Kejohanan LorenXo Muay Thai Challenge 2019 di Keriang Hill, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


ALOR SETAR : Tindakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengheret kes perpindahan kontroversi pemain muda negara, Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membuka mata ramai pihak serta dilihat dimensi baharu dalam arena bola sepak negara.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, tindakan KFA menjadikan persatuan itu sentiasa diberi perhatian termasuklah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mula melakukan perubahan sewajarnya dalam tindakan mereka.

Malah katanya, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sendiri bersetuju dengan beberapa perkara yang dibangkitkan KFA dan mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Saya sebenarnya tak mahu komen lebih lanjut kes ini tapi apa yang kita lakukan sudah berada di landasan yang betul, kita lihat banyak perubahan yang berlaku dalam FAM termasuklah dengan Setiausaha Agung FAM yang bersetuju dengan perkara yang dibincangkan bersama sebelum ini.

“Mengenai perjalanan kes Akhyar, barisan peguam yang dilantik sedang membuat penelitian akhir dan pengurusan KFA sudah diberi penerangan mengenainya,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Kejohanan LorenXo Muay Thai Challenge 2019 di Keriang Hill di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan tarikh sebenar untuk pihaknya memfailkan kes itu.

“Peguam kita sudah menghantar surat kepada FAM baru-baru ini mengikut prosuder dan perlembagaan, saya tak mahu komen lebih sebab kes ini kita nak bawa ke CAS, apa yang saya boleh beritahu bahawa kita sayangkan industri bola sepak tanah air dan tindakan ini adalah untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.

Sementara itu, Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan negeri, berkata kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan negeri ini terutama di tanah besar sebagai hub pelancongan sukan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penganjuran kejohanan sukan sekurang-kurangnya dua kali sebulan daripada persatuan atau kelab sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 4:39 PM