FARAH (kanan) dan Nuraini ketika beraksi bersama East Grinstead.
FARAH (kanan) dan Nuraini ketika beraksi bersama East Grinstead.
Saiful Affendy Sapran


TERUJA dan amat berharap dapat beraksi di Liga Hoki Eropah (EHL).

Demikian impian penjaga gol utama skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya yang berharap dapat beraksi di EHL sekali gus muncul pemain pertama negara beraksi di pentas berprestij itu.

Ia selepas kelab yang disertainya bersama seorang lagi pemain negara, Nuraini Abdul Rashid, East Grinstead HC muncul naib juara pada saingan Liga Hoki England yang berakhir Mac lalu sekali gus layak beraksi di EHL.

Grinstead mengumpul 39 mata selepas 18 perlawanan dan ketinggalan tujuh mata berbanding juara, Surbiton yang mengumpul 46 mata.

"Sebagai pemain sudah tentu saya mahu beraksi di EHL. Ia adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana berpeluang bertemu antara kelab dan pemain terbaik di dunia.

"Saya berharap akan dapat menerima panggilan untuk beraksi bersama kelab di EHL. Menamatkan saingan di kedudukan kedua liga juga satu pencapaian besar untuk kelab dan kini fokus seterusnya adalah untuk saingan EHL," kata Farah yang pernah dinobat selaku penjaga gol terbaik Asia.

EHL difahamkan sepatutnya berlangsung di Belanda bulan lalu, namun ia ditangguhkan kepada Oktober depan susulan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 7:00 AM