AKSI Rashid  (kiri)  pada Sukan SEA KL201 7 lalu.
AKSI Rashid (kiri) pada Sukan SEA KL201 7 lalu.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kejayaan dua pemain negara, Rashid Baharom dan Shazril Irwan Nazli menempatkan diri beraksi di Liga Hoki Eropah (EHL) 2018 diharap menjadi batu loncatan kepada pemain lain untuk mengikut jejak langkah mereka.

Bekas pemain negara, Nor Azlan Bakar yang menjadi individu penting membuka laluan kepada kedua-dua pemain itu beraksi bersama juara Perancis, Racing Club de France (RCF) di EHL berkata, peluang itu seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Rashid dan Shazril.

Ini kerana, katanya, bukan mudah untuk pemain negara beraksi di EHL yang setaraf Liga Juara-Juara di dalam bola sepak dengan kedua-duanya bakal mencipta sejarah selaku pemain Malaysia pertama yang akan beraksi pada saingan berprestij itu.

“Mereka dilihat sebagai pembuka jalan kepada pemain lain untuk cuba menempatkan diri beraksi di EHL.

“Lagipun, impian melihat pemain Malaysia beraksi di liga itu sudah lama dinanti-nantikan oleh kami kerana bukan mudah beraksi di sana.

“Jadi, kepada kedua-dua pemain itu, ambil peluang ini sebaik-baiknya,” katanya.

Jelas Azlan, pihak kelab menghubunginya untuk mendapatkan pemain import dari Malaysia dan beliau terus memberikan beberapa nama yang dirasakan sesuai serta mempunyai keupayaan beraksi di tahap tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 7:45 AM