FARAH (kanan belakang) bersama rakan sepasukannya di East Grinstead. — FOTO East Grinstead
FARAH (kanan belakang) bersama rakan sepasukannya di East Grinstead. — FOTO East Grinstead
Saiful Affendy Sapran


PENJAGA gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya yang beraksi di Liga Hoki England mempunyai misi besar untuk memastikan kelabnya, East Grinstead menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di kedudukan empat terbaik.

Farah yang muncul pemain wanita pertama beraksi di liga utama England itu kini perlu membantu pasukannya mengharungi dua lagi perlawanan bertemu Bowdon Sabtu ini dan Clifton Robinsons, hujung bulan ini.

Grinstead kini menduduki tangga ketiga liga dengan mengumpul 28 mata, ketinggalan tujuh mata berbanding pendahulu liga, Holcombe.

Kedudukan empat terbaik itu penting untuk memastikan pasukannya layak secara automatik ke pusingan kalah mati untuk merebut piala liga.

Hasrat Grinstead untuk merebut kejuaraan liga terjejas selepas tewas kepada pasukan tercorot Canterbury 1-2 di tempat lawan, Jumaat lalu.

“Sukar untuk menjangkakan prestasi setiap pasukan di sini lebih-lagi lagi apabila beraksi di tempat lawan.

“Contohnya Canterbury beraksi dengan amat baik ketika bertemu kami. Saya memang rasa kecewa dengan kekalahan itu.

“Sekarang kami fokus untuk menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Farah berkata, dia akan melengkapkan aksi bersama Grinstead sebelum pulang ke tanah air pada 21 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 7:24 PM