PAYET (tiga dari kiri) melepaskan rembatan untuk menghasilkan gol buat Marseille sebelum dia dilayangkan kad merah. FOTO AFP
PAYET (tiga dari kiri) melepaskan rembatan untuk menghasilkan gol buat Marseille sebelum dia dilayangkan kad merah. FOTO AFP
AFP

Paris: Marseille dan Lyon terus bergelut pada permulaan musim selepas kedua-duanya hanya mencatat keputusan seri 1-1 yang menyaksikan mereka berada di kedudukan pertengahan Ligue 1.

Marseille yang berada di tangga ke-10 dengan hanya mengumpul sembilan mata mencatat keputusan seri di Stadium Groupama.

Lyon yang dibimbing Rudi Garcia, hanya dibezakan dua mata dengan Marseilla dan berada di kedudukan ke-14.

Skuad bimbingan Andre Villas-Boas gagal mencatat kemenangan dalam empat aksi terdahulu sejak kali terakhir mereka mengalahkan Paris Saint-Germain (PSG) bulan lalu, manakala Lyon terus kemarau kemenangan selepas lima perlawanan tatkala sudah mengharungi enam aksi musim ini.

Pasukan tuan rumah sebelum ini sudah mencatat empat keputusan seri dan bergelut untuk memecah kubu Marseille walaupun pelawat terpaksa beraksi hampir keseluruhan perlawanan dengan 10 pemain apabila Dmitri Payet dilayangkan kad merah pada minit ke-19.

Marseille mendahului hasil penyudah cantik Payet tiga minit sebelum dia diperintah keluar padang namun Houssem Aouar berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti menghampiri setengah jam perlawanan berlangsung.

Aouar, yang dikatakan akan meninggalkan Lyon menjelang saat akhir pasaran perpindahan, menjangkakan dia sudah menjaringkan gol kemenangan ketika aksi berbaki 14 minit namun ia dibatalkan kerana didapati mengasari penjaga gol Marseille, Steve Mandanda.

"Dalam aspek lain, ia adalah satu impak yang baik kerana memberikan kami keyakinan. Saya gembira kerana pemain sudah memberikan segala-galanya. Kami kembali mendapat semula semangat seperti tahun lalu," kata Villas Boas.

Aksi sebelum itu menyaksikan Rennes melonjak satu kedudukan teratas teratas liga selepas mencatat keputusan seri 2-2 berdepan Reims, kemenangan Lille ke atas Strasbourg 3-0 pula membolehkan mereka berkongsi kedudukan di puncak liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 2:36 PM