SAINZ bergambar di Litar Albert Park pada Mac lalu. FOTO AFP
SAINZ bergambar di Litar Albert Park pada Mac lalu. FOTO AFP
AFP

PELUMBA Sepanyol, Carlos Sainz bakal menggantikan juara dunia empat kali Formula Satu, Sebastian Vettel di Ferrari musim depan manakala Daniel Ricciardo telah pun menandatangani kontrak jangka panjang bersama McLaren bermula 2021.

"Ia seperti mimpi," kata Sainz dalam media sosialnya. "Saya rasa anda dapat bayangkan kegembiraan ini dan ia hari sangat istimewa buat saya."

Sainz, 25, akan meninggalkan McLaren dan berlumba bersama Charles Leclerc yang berusia 22 tahun di Ferrari sekali gus gabungan termuda dalam pasukan itu sejak 50 tahun lalu.

"Dengan lima musim di belakangnya, Carlos membuktikan dia sangat berbakat dan mempunyai kemampuan teknikal dan karakter yang tepat untuk menyertai keluarga kami," kata ketua pasukan Ferrari, Mattia Binotto dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

"Kami menyasarkan untuk bangkit kembali ke puncak Formula 1. Sudah pasti ia perjalanan jauh dan banyak cabaran," tambahnya merujuk kepada permasalahan timbul angkara pandemik koronavirus.

"Kami yakin gabungan pemandu yang berbakat dan personaliti Charles, Carlos...akan menjadi kombinasi terbaik untuk membantu kami mencapat matlamat yang disasarkan."

Sainz menjadi calon utama menggantikan Vettel di Maranello selepas pelumba Jerman itu mengumumkan akan meninggalkan Ferrari apabila rundingan kontrak menemui jalan buntu.

Sainz yang bapanya juga bernama Carlos, adalah juara rali dunia dua kali dan berlumba untuk pasukan kedua Red Bull, Toro Rosso serta Renault sebelum menyerlah bersama McLaren musim lalu.

Dia meraih podium pertama untuk pasukan dari Britain itu dalam tempoh enam tahun di Brazil tahun lalu.

Kemasukan Sainz ke Ferrari sekali gus menamatkan spekulasi sekian lama membabitkan juara enam kali, Lewis Hamilton yang dikatakan mahu berpindah ke pasukan itu dari Mercedes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 8:12 AM