SAINZ bakal memeri saingan kepada Leclerc. FOTO AFP
SAINZ bakal memeri saingan kepada Leclerc. FOTO AFP
Agensi

KETUA Pegawai Eksekutif McLaren Racing, Zak Brown percaya Carlos Sainz akan memenangi perlumbaan bersama Ferrari dan memberi saingan kepada rakan sepasukan, Charles Leclerc pada saingan Formula Satu (F1) musim depan.

Sainz akan meninggalkan McLaren dan menyertai Ferrari pada musim depan selepas Sebastian Vettel enggan menyambung kontrak baharu bersama pasukan dari Itali itu yang berakhir hujung musim ini.

Sainz, 25, akan bergandingan bersama Leclerc yang mengatasi Vettel pada musim lalu apabila menamatkan saingan di tangga keempat keseluruhan kedudukan pemandu.

Ketika Sainz dilihat sekadar berperanan sebagai pemandu sokongan di belakang Leclerc, Brown percaya pelumba Sepanyol itu mampu memberikan cabaran sengit.

"Saya rasa dia akan beraksi dengan baik di Ferrari. Sainz akan memberi saingan sengit kepada Leclerc.

"Dia sudah bersedia untuk menyahut cabaran di Ferrari. Jika mereka mempunyai jentera yang mampu memenangi perlumbaan, Sainz akan memenuhi impian itu," katanya.

Sainz meraih penamat terbaik keenam keseluruhan kategori pemandu pada tahun lalu selain membantu McLaren menduduki tempat keempat kategori pengeluar.

"Dia melakukan tugasnya dengan baik daripada yang saya jangkakan. Sudah pasti kami tidak akan menandatanganinya jika kami berasakan dia tidak bagus.

"Tapi nyata Sainz tidak melakukan sebarang kesilapan dan dia dilihat semakin menunjukkan kematangan," kata Brown.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 6:26 PM