Penyerang Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang (kanan) menarik perhatian Real Madrid. FOTO File AFP
Penyerang Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang (kanan) menarik perhatian Real Madrid. FOTO File AFP
Agensi

REAL Madrid mahu mendapatkan khidmat Pierre-Emerick Aubameyang pada perpindahan musim panas akan datang dengan karier penyerang kebangsaan Gabon di Arsenal semakin berada di penghujung.

Malah sekiranya dia berjaya menyertai skuad Los Blancos, Aubameyang dapat melaksanakan janji kepada datuknya sebelum mendiang meninggal dunia.

Bekas penyerang Borussia Dortmund mendedahkan dia pernah berjanji kepada datuknya dan aksi akrobatik yang sinonim dilakukan ketika meraihkan jaringan ditiru daripada legenda dari Bernabeu.

Aubameyang, 30, berkata : "Sebelum dia meninggal dua tahun lalu, saya berjanji kepadanya iaitu suatu hari nanti saya akan bermain untuk Real Madrid.

"Datuk saya dari Avila, tidak jauh dari Madrid. Ia (bermain di Real) perkara yang saya beritahu kepadanya.

"Saya sedar ia bukan mudah tapi ia sesuatu yang saya pendam dalam hati.

"Saya meraikan jaringan dengan gaya akrobatik memusingkan badan sebagai menghargai Hugo Sanchez.

"Saya sudah melihat banyak video mengenainya di internet dan saya sudah mengikutinya sejak saya kanak-kanak lagi."

Penyerang dari Mexico, Sanchez berjaya menjaringkan 208 gol dalam 283 perlawanan dan memenangi lima kejuaraan La Liga antara 1985 dan 1992.

Aubameyang meninggalkan Dortmund tetapi menyertai Arsenal pada Januari 2018, menjaringkan 49 gol pada saingan Liga Perdana dalam 75 penampilan termasuk 17 pada musim ini.

Kontraknya dijangka tamat pada 2021 dan the Gunners terdesak untuk tidak kehilangan satu lagi aset bernilai secara percuma susulan pemergian Aaron Ramsey ke Juventus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 7:55 AM