Ozil (kanan) bersama Auba ketika beraksi di Arsenal. FOTO Agensi
Ozil (kanan) bersama Auba ketika beraksi di Arsenal. FOTO Agensi
Agensi

London: Mesut Ozil mengirimkan pesanan ringkas di media sosial tanda simpati kepada Pierre-Emerick Aubameyang selepas penyerang itu meninggalkan Arsenal untuk menyertai Barcelona.

Aubameyang, 33, dilepaskan secara percuma ke Nou Camp pada hari terakhir tempoh perpindahan.

Bintang skuad kebangsaan Gabon itu disisihkan oleh pengendali Gunners, Mikel Arteta selepas dilucutkan lilitan kapten pasukan kerana masalah disiplin.

Nasib Aubameyang seolah-olah sama seperti di lalui Ozil pemain kebangsaan Jerman yang turut disingkirkan daripada skuad utama oleh Arteta.

Perancang tengah itu yang kini bersama Fenerbahce di Turki, mengirimkan pesanan ringkas kepada Aubameyang di Instagram selepas penyerang itu memuat naik nota ucapan selamat tinggal kepada peminat Gunners.

Catatan ringkas Ozil: "Selamat maju jaya sahabat."

Pesanan Aubameyang kepada peminat pula: "Buat peminat Arsenal, terima kasih kerana menjadikan London sebagai kediaman saya dan keluarga sepanjang lebih empat tahun.

"Kami mengharungi jatuh dan bangun bersama malah sokongan anda memberi makna segalanya buat saya.

"Berpeluang memenangi trofi dan berasa bangga kerana menjadi kapten kelab ini adalah sesuatu yang akan dikenang.

"Saya sentiasa memberikan tumpuan 100 peratus dan komited melakukan segalanya yang saya mampu buat kelab ini. Ini membuatkan saya rasa sedih untuk meninggalkan kelab tetapi inilah bola sepak.

"Saya sedih kerana tidak berpeluang membantu rakan sepasukan dalam beberapa minggu lalu, tetapi saya tetap menghormati pengurusan kelab dan berharap pasukan dan peminat semua masa depan yang terbaik dan beroleh lebih banyak kejayaan akan datang! Sayang, Auba."

Arsenal kini berdepan situasi tenat di bahagian serangan dengan Alexandre Lacazette dijangka kembali bersama kelabnya Lyon pada musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 9:40 AM