KHALID JAMLUS
KHALID JAMLUS
Syazwan Msar


SELESAI dahulu tunggakan sebelum buat pemotongan gaji. Itu antara perkara ditekankan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak, Khalid Jamlus bagi mengelak ada pihak tertentu mengambil kesempatan hingga menafikan hak pemain.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, Khalid berkata, terdapat beberapa pemain dikatakan tidak mendapat gaji sejak Februari lalu namun keperitan mereka ditambah apabila sumber pendapatan dipotong pula.

Beliau berkata, pemotongan gaji sebenarnya adalah tidak wajar kerana pemain juga mempunyai tanggungjawab masing-masing terutama kepada keluarga.

Namun, pada waktu musibah seperti penularan wabak Covid-19, semua pihak perlu berkorban dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian jitu untuk kebaikan semua.

“Saya pernah melalui situasi gaji tertunggak dan waktu itu memang perit serta ketika ini pula ada pemain melalui situasi berkenaan dan pada masa gaji pula mungkin dipotong.

“Jika mahu potong gaji pemain selesaikan dulu tunggakan mereka dan bolehlah berbuat demikian atas persetujuan bersama. Pemain di negara ini tidaklah banyak gaji mereka dan diharap tidak dipotong terlalu tinggi. Cukuplah setakat 25 peratus saja,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, isu pemotongan gaji ke atas pemain Liga-M semakin hangat diperkatakan selepas Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) enggan membenarkan sebarang rundingan diadakan sebagai mana disarankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Cadangan supaya pemain dan pasukan mengadakan rundingan itu bagi mengatasi masalah kewangan pasukan ekoran penundaan Liga-M ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi menangani wabak Covid-19 dari 18 Mac hingga 14 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 6:00 AM