KHABIB (kiri) menewaskan McGregor di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 7 Oktober 2018. FOTO Agensi
KHABIB (kiri) menewaskan McGregor di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 7 Oktober 2018. FOTO Agensi
Agensi

CONOR McGregor mendakwa seteru utamanya, Khabib Nurmagomedov sebagai pengecut dalam usaha untuk mempertahankan gelaran juara UFC lightweight bertemu Tony Ferguson hujung bulan ini.

Nurmagomedov pada Rabu lalu berkata dia berada di kampungnya di Dagestan dan tidak sanggup meninggalkan Russia sepanjang pandemik Covid-19 untuk beraksi pada perlawanan UFC 249, 18 April ini dengan lokasinya masih belum diputuskan lagi.

Namun Khabib mengubah pendiriannya dan meminta Presiden UFC, Dana White menyatakan lokasi baru perlawanan itu dan dia sedia turun beraksi.

Dana kekal menegaskan saingan itu tetap akan dilangsungkan di sebalik wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan memaksa venue asal perlawanan itu di Brooklyn dipindahkan ke lokasi lain.

McGregor menerusi akaun Twitter miliknya mengejek kisah pertemuan Nurmagomedov-Ferguson yang masih belum menjadi kenyataan meskipun kedua-duanya sudah mengatur perlawanan sebanyak lima kali sejak Disember 2015 lagi.

Empat perlawanan yang diatur sebelum ini terpaksa dibatalkan berikutan kecederaan yang menimpa baik Ferguson mahupun Khabib.

“Kenyataannya ialah Tony dan Khabib kedua-duanya bersikap pengecut sebelum perlawanan bermula lagi.

“Dengan Khabib orang pertama paling pengecut. Ia menjadikan pertemuan perlawanan menjadi 3-2 memihak kepada Tony.

“Khabib keluar dari AS (Amerika Syarikat) dan pulang ke kampung ketika krisis Covid-19 sedang berlaku. Sangat berisiko tinggi. Tahniah Tony,” katanya.

Khabib menewaskan McGregor menerusi 'submission' (kuncian) 'rear naked choke' pada perlawanan penuh kontroversi dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 10:08 PM