PERTARUNGAN antara McGregor (kiri) dan Khabib pada 2018 di menangi oleh Khabib. FOTO Agensi
PERTARUNGAN antara McGregor (kiri) dan Khabib pada 2018 di menangi oleh Khabib. FOTO Agensi
Agensi

HASRAT peminat untuk menyaksikan perlawanan ulangan kontroversi antara Conor McGregor dan Khabib Nurmagomedov mungkin bakal menjadi kenyataan.

Ia selepas Presiden Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White mendedahkan McGregor mungkin akan bertemu pemenang antara Khabib dan Tony Ferguson di UFC 249, April depan.

McGregor kembali ke Octagon sejak tewas di tangan Khabib dua tahun lalu dengan langkah bergaya apabila menewaskan Donald Cerrone hanya dalam tempoh 40 saat bulan lalu.

Bercakap mengenai siapakah lawan McGregor seterusnya, White berkata: “Mungkin pemenang antara Khabib dan Tony.”

McGregor, 31, ditewaskan oleh Khabib pada Oktober 2018 yang mencetuskan kontroversi selepas tamat perlawanan apabila bintang dari Russia itu bertindak melompat keluar dari Octagon untuk menyerang pasukan McGregor.

Terdapat banyak desakan meminta perlawanan ulangan McGregor dan Khabib selepas kedua-duanya dilihat masih belum selesai melunaskan dendam masing-masing.

Bagaimanapun Khabib perlu memastikan dapat menewaskan Ferguson dalam tempoh dua bulan lagi untuk pertemuan semula dengan McGregor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 10:35 PM