Joaquin Correa meraikan jaringan bersama Luis Alberto. FOTO Reuters
Joaquin Correa meraikan jaringan bersama Luis Alberto. FOTO Reuters
AFP

LAZIO melonjak ke kedudukan teratas Serie A selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Bologna ketika lima perlawanan dalam saingan liga utama Itali ditunda berikutan kebimbangan mengenai penularan wabak koronavirus.

Jaringan babak pertama oleh Luis Alberto dan Joaquin Correa membolehkan Lazio berkelebihan dua mata mengatasi juara bertahan Juventus dan melebarkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga kepada 21 perlawanan.

Bologna pula dinafikan dua gol pada babak kedua yang tidak dibenarkan selepas tayangan VAR.

Perlawanan membabitkan Juventus dan pasukan di tangga ke tiga Inter Milan di Turin pada Ahad antara perlawanan yang ditunda dan bakal berlangsung pada 13 Mei. Ia pada awalnya dijadualkan untuk beraksi secara tertutup.

Itali adalah negara di Eropah yang paling buruk terkesan dengan penularan wabak berkenaan dengan 900 kes dan 21 kematian - kebanyakan membabitkan bandaraya di utara.

Lazio beraksi lebih satu perlawanan berbanding Juventus sementara Inter yang dibezakan dengan lapan mata mempunyai aksi kurang dua perlawanan daripada pendahulu liga itu selepas perlawanan mereka berdepan Sampdoria minggu lalu turut di tunda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 12:52 PM