SARRI sedia berdepan Lazio walaupun pasukannya mengalami penurunan prestasi. FOTO AFP
SARRI sedia berdepan Lazio walaupun pasukannya mengalami penurunan prestasi. FOTO AFP
AFP

MAURIZIO Sarri mengakui beliau tidak gentar dengan Lazio atau mengenai masa depannya sebagai pengendali Juventus sebaliknya hanya fokus mempersiapkan pasukannya bagi saingan Serie A berdepan pasukan yang menumpaskannya dua kali musim ini.

"Pernahkah anda bertanya kepada pelumba Formula Satu (F1) takut akan kelajuan? ia adalah sebahagian daripada tugas mereka.

"Semuanya akan berjalan lancar jika anda menang, tapi sebaliknya jika kalah tapi tidak ada apa perlu takut, Juventus adalah pasukan yang sedia bersaing," kata Sarri.

Penyandang juara, Juventus dilihat agak merudum selepas penyambungan semula liga akibat Covid-19 dan sekarang ini tiga perlawanan tanpa mencatat sebarang kemenangan.

Mereka hanya mengutip dua mata dan melepaskan sembilan gol ketika berdepan AC Milan, Atalanta dan Sassuolo.

Pendahulu liga itu mempunyai kelebihan lima mata dengan pasukan tangga kedua, Inter Milan yang seri 2-2 menentang AS Roma.

"Kami berdepan pasukan yang mantap, ia memang agak pelik bila kami menyambung aksi, ini sangat unik bagi sejarah bola sepak," kata Sarri.

Lazio hanya satu mata di belakang Juventus sebelum liga ditangguhkan namun sekarang mereka ketinggalan lapan mata, selepas tewas empat daripada tujuh perlawanan sejak liga kembali bersambung bulan lalu.

Lazio mengalahkan Juventus 3-1 Disember lalu iaitu dalam saingan Serie A dan perlawanan akhir Piala Super Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 11:49 AM