POLI (dua kanan) menjaringkan gol pertama Bologna di Stadio Olimpico, awal pagi tadi. — FOTO EPA
POLI (dua kanan) menjaringkan gol pertama Bologna di Stadio Olimpico, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

JURULATIH Bologna, Sinisa Mihajlovic memuji pasukannya kerana mencipta ‘keajaiban’ selepas keputusan seri 3-3 di Lazio awal pagi tadi cukup untuk mengekalkan pasukan utara itu dalam Serie A musim depan.

Ia mata berharga buat Bologna yang menyaksikan perubahan nasib sejak kehadiran jurulatih dari Serbia, Mihajlovic menggantikan Filippo Inzaghi, abang jurulatih Lazio, Simone, Februari lalu.

“Tiada siapa atau tidak ramai yang percaya kami boleh kekal beberapa bulan lalu,” kata Mihajlovic, bekas pemain kebangsaan Yugoslavia.

“Saya seorang daripadanya. Masa berlalu dan saya lebih yakin kami berada di landasan yang betul tapi ia tetap satu keajaiban kecil.”

CORREA (kanan) membuka tirai jaringan aksi Lazio-Bologna. — FOTO EPA
CORREA (kanan) membuka tirai jaringan aksi Lazio-Bologna. — FOTO EPA

Kelab itu berada di tangga ke-18 dengan hanya dua kemenangan daripada 21 perlawanan apabila bekas jurulatih Serbia, AC Milan dan Torino itu tiba, namun sejak itu menang lapan daripada 16 perlawanan dan kini menghuni tangga ke-12.

Lazio sudah layak ke Liga Europa musim depan selepas menjuarai Piala Itali mengalahkan Atalanta di Rome, minggu lalu dan tidak tertekan kerana mereka berada di tangga kelapan.

Namun anak buah Inzaghi mendahului selepas 13 minit menerusi Joaquin Correa, yang turut menyumbat gol ketika mereka menang Piala Itali di Stadio Olimpico.

Andrea Poli menyamakan kedudukan buat Bologna lima minit selepas rehat dan Mattia Destro merembat masuk dari jarak dekat dua minit kemudian. Riccardo Orsolini meledak gol ketiga Bologna pada minit ke-63.

Sepakan lencong Bastos menyaksikan Lazio terikat pada minit ke-59 dengan Sergej Milinkovic-Savic sekali lagi terbukti berbisa hadir dari bangku simpanan seperti final Piala Itali, meraih satu mata menerusi sepakan percuma lencong melepasi benteng 10 minit sebelum tamat.

Bologna kini empat mata di depan Genoa yang menghuni tempat terakhir zon penyingkiran dengan baki satu perlawanan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 7:56 AM