AKSI persahabatan sangat penting buat skuad PDRM untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan menjelang musim baru Liga Super. FOTO Ihsan PDRM
AKSI persahabatan sangat penting buat skuad PDRM untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan menjelang musim baru Liga Super. FOTO Ihsan PDRM
Malik Muhamad


TIADA istilah kecewa sebaliknya pengajaran berguna buat pasukan.

Ini luahan ketua jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohamad Ishak Kunju Mohamad selepas skuadnya tewas 0-3 bertemu Terengganu FC (TFC) pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Baginya, aksi itu begitu bermakna untuk mengenal pasti sejauh mana kelemahan dan kekuatan skuad The Cops menjelang aksi pertama Liga Super bertemu Sabah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras 1 Mac ini.

“Saya tidak kecewa dengan keputusan perlawanan persahabatan kelapan itu, malah ia menjadi pengajaran yang berguna buat kami untuk melihat prestasi semasa pasukan sebelum kancah liga bermula.

“Selain itu dengan masa yang berbaki seminggu sahaja lagi ia bagus buat kami untuk melakukan persiapan lebih terperinci dalam misi untuk menjadi antara pasukan pencabar utama dalam saingan liga musim ini,” ujar Ishak.

Pada aksi yang dilangsungkan secara tertutup termasuk pihak media tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan itu, TFC memperolehi gol menerusi dua jaringan pemain pertahanan, Babacar Diallo dan satu gol lagi menerusi Dominique da Sylva.     

Mengulas aksi malam tadi, jurulatih yang mempunyai visi untuk memastikan skuadnya kekal beraksi dalam kancah Liga Super musim depan itu berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan komitmen yang diperagakan anak buahnya biarpun bertemu TFC yang boleh dikatakan pasukan serba lengkap.

“Kombinasi pertahanan import dengan pemain tempatan beraksi dengan baik terutama pada babak kedua selepas berjaya mengekang asakan bertali arus pemain lawan sehingga lawan gagal membolosi gol.

“Sikap pemain juga harus dipuji dan bagus kerana saling bekerjasama biarpun akui lawan lebih tersusun apatah lagi menggunakan lima import berbanding PDRM hanya tiga import, ini saya perlu realistik.

“Cuma jentera tengah dan barisan penyerang kurang berfungsi dengan baik, penyerang import kelahiran England, Antonio German dilihat kurang menyerlah, mungkin tidak mendapat umpanan yang baik daripada pemain tengah.

“Selain itu pemain kami lambat panas, buktinya kita dibolosi tiga gol pada babak pertama manakala babak kedua pemain kental bertahan, namun apa yang menggembirakan kami pemain tidak hanya ‘berkampung’ dalam kawasan sendiri.

“Justeru saya harapkan selepas ini pemain harus memahami kehendak saya kerana sudah pasti pentas liga kian mencabar,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 8:37 PM