HODAK (tengah) bersama pemain kelihatan hampa selepas tewas kepada pasukan Terengganu FC dengan agregat 4-1. FOTO GHAZALI KORI
HODAK (tengah) bersama pemain kelihatan hampa selepas tewas kepada pasukan Terengganu FC dengan agregat 4-1. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak mencadangkan skuadnya perlu mengeluarkan bajet yang lebih besar jika mahu terus berdaya saing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Beliau menjelaskan, musim ini skuadnya antara kelab yang 'berbelanja' kecil sejak musim lalu sekali gus memaksanya menurunkan ramai pemain muda.

Situasi ini katanya menyebabkan beliau tidak dapat memiliki barisan impiannya dalam sebahagian besar saingan domestik sekali gus gagal mengulangi pencapaian musim lalu untuk mara ke final bagi mempertahankan gelaran juara kali kedua berturut-turut.

Semalam finalis Piala AFC (Konfederasi Bolasepak) itu dibaham skuad Terengganu FC (TFC) 3-1 sekali gus tewas dengan agregat 4-1 selepas tumpas 1-0 di laman sendiri pada aksi suku akhir pertama 6 November lalu.

Gol saguhati skuad The City Boys dijaringkan Haqimi Azim Rosli manakala tiga jaringan skuad Penyu dihasilkan melalui pemain import iaitu Manuel Ott (Filipina), Kipre Tchetche (Ivory Coast) dan Kpah Sherman dari Liberia.

"Bajet skuad kami terlalu kecil untuk melalui musim yang panjang termasuk Piala AFC dan untuk 2023, KL City FC perlu ada bajet lebih besar bagi menambah pemain yang lebih berkualiti.

"Ada pemain muda yang boleh dijadikan sandaran dan ada juga yang tidak boleh bermain untuk Liga M. Jadi agak sukar bagi saya untuk membentuk sebuah pasukan yang betul-betul mantap lebih-lebih lagi musim depan jadual perlawanan yang banyak kerana tambahan pasukan.

"Jadi saya cadangkan kepada pihak pengurusan perlu menambah lagi bajet bagi memastikan skuad ini mampu menamatkan saingan Liga M dengan kedudukan lebih baik," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan menentang TFC pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Ketika ditanya adakah beliau kekal membimbing skuad KL City FC musim depan, jurulatih kelahiran Crotia itu menjelaskan kemungkinan beliau kekal bersama skuad The City Boys itu.

"Saya mungkin kekal tahun depan dan ianya (bajet) antara yang dibincangkan. Seperti disebutkan, kalau mahu membaiki pencapaian pada tahun ini, kami perlukan bajet yang lebih," katanya.

Mengulas perlawanan itu, Hodak akui TFC memiliki individu lebih berkualiti terutama di bahagian serangan.

"Saya memasukkan Morales dan Partiban pada babak kedua namun boleh dilihat mereka tidak bersedia (cergas), kami juga terlalu banyak memberi ruang kepada pihak lawan sehingga membenarkan mereka menyerang, situasi ini tidak wajar berlaku kepada KL City FC.

"Namun kekalahan 1-4 secara agregat yang juga kekalahan keempat kepada TFC musim ini bukan atas faktor nasib sebaliknya dibezakan kualiti pemain," katanya yang akui tiga tonggaknya, Ryan Lambert, Romel Morales dan J Partiban gagal beraksi sebagaimana diharapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 2:27 PM