HUANG Qiang bebas tuduhan rogol atlet.
HUANG Qiang bebas tuduhan rogol atlet.
Farah Marshita Abdul Patah


BEKAS jurulatih pasukan terjun kebangsaan Huang Qiang, sekali lagi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, daripada tuduhan merogol seorang atlet terjun kebangsaan wanita di Kompleks Akuatik Sukan Negara, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini melepas dan membebaskan Qiang pada 9 April 2018 dan 31 Januari tahun lalu.

Terdahulu Mohd Nazlan dalam penghakimannya, berkata pihak pembelaan membangkitkan isu selang masa pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam gim kering, yang memberikan gambaran lebih terperinci terhadap pembelaan tertuduh.

“Pihak pembelaan memfokuskan isu selang masa yang menunjukkan waktu tertuduh berada di gim kering dan pulang semula ke kolam seperti yang direkodkan oleh CCTV.

“Versi pembelaan menunjukkan bahawa tertuduh tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk insiden rogol itu berlaku, selain ia tidak menyokong kes pendakwaan,” katanya.

Tambah Nazlan, beliau mendapati Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes itu tidak terkhilaf dalam keputusannya yang mendapati tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan pendakwaan dan melepas serta membebaskan tertuduh terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya,” katanya.

Pada 11 Oktober 2017, Huang yang berasal dari China dan mendapat taraf warganegara Malaysia, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan merogol mangsa di dalam gim kering, Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, Cheras, di Kuala Lumpur pada 5.30 petang, 26 September 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 9 April 2018, Huang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun pada 31 Oktober 2018, Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Huang.

Beliau sekali lagi dilepas dan dibebaskan pada 31 Januari 2019 selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Huang, 37, di akhir kes pembelaan di Mahkamah Sesyen.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asyikin Mokhtar, manakala peguam Mohd Hisham Md Nen bertindak mewakili Huang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:02 PM