WOODS ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Farmers Insurance. FOTO AFP
WOODS ketika beraksi pada pusingan pertama Terbuka Farmers Insurance. FOTO AFP
AFP

JUARA bertahan Masters, Tiger Woods yang sedang memburu kejuaraan ke-83 Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS), mencatat tiga bawah par 69 pada hari pertama Terbuka Farmers Insurance, ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu, Sebastian Cappelen.

Berlangsung di lapangan Torrey Pines yang menyaksikan Woods meraih lapan gelaran, sensasi berusia 44 tahun itu menamatkan saingan dengan membenam birdie di lubang kesembilan.

“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan catatan hari ini. Saya dapat melakukan setiap pukulan dengan baik,” katanya.

Woods berjaya menyamai rekod legenda AS, Sam Snead apabila melakar 82 kemenangan Jelajah PGA AS selepas memenangi Kejohanan Zozo, Oktober tahun lalu di Jepun dan kali ini adalah peluang pertamanya untuk mengatasi rekod itu.

Woods masih mengingati kejayaan yang diraihnya sepanjang beraksi di Torrey Pines sebelum ini.

“Saya sedang merasai kehangatan saingan di sini dan benar-benar merindui segala kenangan di lapangan ini.

“Saya cuba bertenang semampu yang boleh. Saya tidak bermula dengan baik apabila mencatat bogey dan kemudian bangkit semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 9:34 AM