ZII Jia ketika menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam. -   FOTO Owee Ah Chun
ZII Jia ketika menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam. - FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi

TANPA berselindung ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui Piala Sudirman yang berlangsung 19 hingga 26 Mei ini adalah pentas buat Lee Zii Jia untuk menyinar.

Ini bermakna daripada tiga pemain disenaraikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Zii Jia dilihat berpeluang beraksi dalam dua perlawanan peringkat kumpulan menentang China dan India.

"Sudah pasti sekarang ini saya akan menggalaskan tanggungjawab ini kepada Zii Jia. Dia mungkin akan berdepan Shi Yuqi atau Chen Long ketika menentang China nanti. Menentang India pula membolehkan dirinya untuk menilai prestasinya ketika berentap dengan K Srikanth," kata Misbun.

Ujar bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, sebenarnya semua orang sudah tahu akan ada dua perlawanan saja (tidak termasuk pusingan kalah mati) dan peluang itu terbuka kepada Zii Jia.

"Sudah pasti sekarang ini yang berpeluang untuk diturunkan Zii Jia dan Cheam June Wei. Buat masa sekarang nama Zii Jia sudah kuat cuma permainan dia ada naik dan turun. Sebelum ini dia tumpas kepada Jonatan Christie iaitu juara Sukan SEA (Terbuka Singapura) dan Chou Tien Chen perseorangan nombor satu Taiwan (Terbuka Jerman).

"Semua pemain ini berada di dalam kelompoknya. Tahap Zii Jia sudah sampai pada tahap terbaik dunia," kata Misbun.

Selain Zii Jia dan June Wei, seorang lagi pemain yang disenaraikan ke kejohanan berkenaan ialah Soong Joo Ven.

Malaysia diundi dalam Kumpulan 1D di Piala Sudirman 2019 dan hanya dua pasukan teratas layak beraksi ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:24 PM