ZII Jia ketika latihan sebagai persiapan aksi sulung Piala Sudirman Ahad ini.
ZII Jia ketika latihan sebagai persiapan aksi sulung Piala Sudirman Ahad ini.
Ferzalfie Fauzi


“SAYA mahu Chen Long,” kata pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang mengakui lebih selesa untuk berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, berbanding Shi Yuqi di aksi sulung Piala Sudirman Ahad ini.

Zii Jia yang akan menggalas tanggungjawab selaku perseorangan lelaki utama negara, mengakui situasi terkini Chen Long mungkin menyebabkan dia lebih selesa berdepan bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Prestasi Chen Long sekarang tidak stabil, Shi Yuqi pula masih muda dan bertenaga,” katanya yang pernah mempunyai pengalaman beraksi di Piala Thomas tahun lalu.

Shi Yuqi mempamerkan aksi terbaik setakat ini apabila berjaya muncul juara Terbuka Switzerland dan naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Chen Long pula hanya muncul naib juara di Masters Malaysia dan Terbuka Malaysia untuk pencapaian paling terbaik setakat ini.

“Bagaimanapun, saya akan berasa sedikit kecewa kerana ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tidak akan bersama kami di sana. Tanggungjawab ini akan digalas jurulatih, Indera Wijaya dan saya pernah berlatih di bawah dia sebelum ini serta kami mempunyai hubungan yang baik.

“Misbun memberikan nasihat kepada saya agar mental saya harus kuat ketika beraksi dalam acara berpasukan kerana persekitarannya sangat berbeza. Beliau juga menasihati saya agar tidak tertekan berikan aksi terbaik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei juga berasa teruja kerana berada dalam skuad berkenaan.

“Saya menghargai peluang yang diberikan ini dan akan menggunakannya sebaik mungkin jika diturunkan. Saya juga berasa berhak untuk disenaraikan (berbanding Liew Daren) kerana ini adalah peluang buat pemain muda.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan persiapan selama dua minggu dan saya tidak kisah berdepan dengan mana-mana pemain handalan dunia seperti Shi Yuqi (China) atau K Srikanth (India),” katanya yang pernah beraksi di Piala Sudirman 2015.

Skuad negara akan berlepas hari ini ke Nanning, China sebelum berdepan aksi sulung peringkat kumpulan menentang tuan rumah Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:10 AM