PEMAIN baharu Sri Pahang FC, Saravanan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
PEMAIN baharu Sri Pahang FC, Saravanan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengumumkan pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, T Saravanan sah menyarung jersi Sri Pahang FC bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim baharu ini.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Sri Pahang FC hari ini, pemain berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak selama dua musim iaitu 2024-2026 bersama skuad Tok Gajah.

"Selamat datang Saravanan ke Darul Makmur. Pemain sayap lincah yang semakin mencipta nama, T Saravanan kini milik Sri Pahang.

"Pemain berusia 23 tahun ini menandatangani kontrak selama dua musim bersama Tok Gajah," menerusi hantaran itu.

Sebelum ini, Saravanan turut disebut-sebut bakal berhijrah bersama sebuah pasukan dari utara tetapi akhirnya memilih Sri Pahang.

Dengan pengumuman itu, Saravanan antara tujuh pemain baharu yang diumumkan Sri Pahang setakat ini yang bakal memberi tentangan kepada beberapa pasukan antaranya Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.

Enam pemain lain ialah seorang import iaitu Mykola Ahapov dari Ukraine manakala lima pemain tempatan baharu yang diumumkan ialah Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, Hasnul Zaim dan penjaga gol, Azfar Arif.

Dengan menggabungkan pemain lama dan baharu, ia sudah pasti menjanjikan persembahan lebih bertenaga di bawah bimbingan Fandi Ahmad.

Pada masa sama, Sri Pahang mensasarkan tiga kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super dan pencapaian lebih baik dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Ini kerana musim lalu skuad Tok Gajah menamatkan saingan di kedudukan kelima dan mara ke suku akhir Piala Malaysia manakala Piala FA pula mara ke pusingan 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 6:03 PM