AKSI  Mueller (tengah) menjaringkan gol Bayern di Bochum. - FOTO AFP
AKSI Mueller (tengah) menjaringkan gol Bayern di Bochum. - FOTO AFP
Reuters

JUARA bertahan Piala Jerman, Bayern Munich nyaris tersingkir di pusingan kedua apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 ke atas pasukan divisyen dua, VfL Bochum hasil dua jaringan lewat, awal pagi tadi.

Serge Gnabry danThomas Mueller menembusi gawang lawan pada minit ke-83 dan 89 bagi menyelamatkan juara 19 kali kendalian Niko Kovac daripada kekalahan memalukan.

Bochum mendahului pada minit ke-36 apabila pemain Bayern, Alphonso Davies tertampan bola hantaran Danny Blum ke gawang sendiri dalam aksi di Ruhrstadion.

Kovac yang banyak menggilirkan pemainnya terpaksa memasukkan Mueller, Robert Lewandowski dan Philippe Coutinho dari bangku simpanan untuk mengubah tempo permainan Bayern.

Gnabry menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang selepas menerima hantaran silang Joshua Kimmich sebelum Bochum beraksi 10 pemain apabila pertahanan, Armel Bella-Kotchap dilayangkan kad merah selepas bola terkena tangan pada minit ke-88.

Seminit selepas itu, Mueller memanfaatkan peluang apabila menolak bola masuk dari jarak dekat selepas menerima hantaran Kingsley Coman untuk gol kemenangan Bayern.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 9:35 AM