MULLER yakin rakan sepasukan mampu atasi Dortmund. FOTO/AGENSI
MULLER yakin rakan sepasukan mampu atasi Dortmund. FOTO/AGENSI
AFP

PENYERANG Bayern Munich Thomas Mueller percaya keajaiban ‘kuasa kuda’ akan meletakkan pasukannya di depan Borussia Dortmund dalam perburuan gelaran Bundesliga dalam kunjungan menyukarkan ke Freiburg awal pagi Ahad.

Ketika Bayern dan Dortmund dipisahkan dengan perbezaan satu gol di puncak liga dan bakal bertemu satu sama lain hujung minggu depan, ia menjanjikan minggu yang penuh debaran buat juara bertahan itu.

Namun Mueller meredakan ketegangan dan menyebabkan penyokong Munich tertawa minggu ini apabila menamakan kudanya sempena rakan sepasukannya Manuel Neuer.

Mueller, yang isterinya Lisa, seorang penunggang kuda dressage berkata menerusi Instagram bahawa dia menamakan anak kuda berkenaan sebagai Manuel kerana ia berkongsi tarikh lahir dengan penjaga gol Bayern itu yang berusia 33 tahun pada Rabu.

Namun jurulatih Niko Kovak memberi amaran bahawa sukar untuk Bayern menang di Freiburg.

"Freiburg adalah pasukan yang sangat mencabar dan banyak pasukan berdepan kesukaran untuk bermain di sana,” kata Kovac awal pagi tadi.

“Mereka berlari pantas dan cepat merebut bola, jadi kami perlu berusaha lebih.”

Freiburg bagaikan pasukan igauan buat Bayern. Pasukan juara itu hanya menang tiga daripada enam kunjungan mereka ke laman lawan dan terikat 1-1 di tempat sendiri awal musim ini.

Penyerang Lucas Hoeler menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 buat Freiburg dalam perlawanan itu dan yakin mereka mampu melukakan Bayern sekali lagi.

“Kami tidak takut dengan mereka. Bayern tidak berdepan laluan mudah di sini, mereka sedar mereka sering bergelut menentang kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 9:27 AM