BENJAMIN Pavard (tengah) cuba melepasi halangan pemain Augsburg. FOTO AFP
BENJAMIN Pavard (tengah) cuba melepasi halangan pemain Augsburg. FOTO AFP
AFP

Augsburg: Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich tewas mengejut 1-2 kepada pasukan yang sedang bergelut, Augsburg.

Mereka beraksi tanpa pemain tengah Jerman, Joshua Kimmich selepas kembali menjalani kuarantin apabila mempunyai kontak rapat dengan seseorang yang didapati positif Covid-19.

Jaringan Mads Pedersen dan Andre Hahn meletakkan Augsburg mendahului 2-0 dan walaupun Robert Lewandowski berjaya meledak jaringannya yang ke-14 daripada 12 perlawanan liga, ia belum cukup untuk menyelamatkan Bayern.

"Kami memang layak untuk ketinggalan pada separuh masa pertama. Kami membiarkan lawan menguasai permainan, melakukan hantaran silang dengan teruk. Ia menyentap dan mengurangkan keyakinan kami," kata Thomas Mueller.

Bayern mengalami kekalahan kedua musim ini dan yang ketiga dalam semua kejohanan, manakala Augsburg berjaya keluar daripada kelompok tiga terbawah liga.

Pasukan tangga kedua, Borussia Dortmund mampu untuk mengurangkan jarak kepada empat mata dengan Bayern apabila mereka melayan kunjungan Stuttgart malam ini.

Iago melakukan hantaran lintang kepada penyerang Switzerland, Andi Zeqiri sebelum menampan bola bagi membolehkan Pedersen melepaskan rembatan melepasi Manuel Neuer pada minit ke-23 untuk gol pertamanya di Bundesliga.

Augsburg menggandakan jaringan bagi memberikan keceriaan kepada penyokongnya apabila hantaran lintang Iago ditanduk masuk Hahn pada minit ke-36.

Bayern cuba bangkit dengan Mueller berjaya menguis bola kepada Lewandowski yang melakukan rembatan sehingga gagal diselamatkan penjaga gol Augsburg, Rafal Gikiewicz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 8:44 AM