SILVA (kiri) berada di prestasi terbaik ketika City dikendalikan Guardiola. FOTO/AFP
SILVA (kiri) berada di prestasi terbaik ketika City dikendalikan Guardiola. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Pemain tengah Manchester City, David Silva berada di prestasi terbaik sejak kelab itu dikendalikan Pep Guardiola, kata bekas rakan sepasukannya David Villa.

Villa yang kini menyarung jersi New York City FC adalah rakan sepasukan Silva ketika di Valencia selama lima tahun dengan kedua-duanya berada dalam skuad Sepanyol yang menjuarai Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.

Masih mengekalkan hubungan baiknya dengan Silva, Villa, 36, yang pernah dibimbing Guardiola di Barcelona berkata, pengurus City itu mempunyai kebolehan meningkatkan prestasi pemain sekalipun mereka sudah dilabel yang terbaik.

“Saya tidak terkejut Pep mempunyai kemampuan untuk meningkatkan prestasi pemain yang dilatihnya,” kata Villa. “Ini adalah cara yang terbaik, anda bermain dengan City jadi anda adalah pemain yang bagus tapi anda tetap boleh meningkat dengan Pep.

“Saya pergi ke Barcelona dan saya mengingati hari pertama yang mana saya menyaksikan satu lagi corak bola sepak. Saya bermain untuk Sepanyol, bermain untuk Valencia di Liga Juara-Juara dan memenangi banyak trofi tapi Pep membawa saya ke satu tahap berbeza.

“Beliau menyatakan permainan saya boleh ditingkatkan. Saya mengenali David sejak dia memulakan kerjaya di Valencia, dia pemain yang menakjubkan dan dengan Pep, dia juga boleh meningkat.”

Silva muncul antara tonggak kejayaan City dan sudah memenangi semua pertandingan yang ditawarkan di liga Inggeris sejak menyertai kelab itu lapan tahun lalu tetapi satu-satunya piala yang belum dibawa pulang ke Etihad adalah Liga Juara-Juara.

Villa berkata, Guardiola adalah insan yang mampu mengemudi kelab itu menakluk gelaran elit Eropah itu dengan gaya bola sepaknya.

“Pep mengubah bola sepak di Sepanyol, Jerman dan kini beliau beralih arah ke Manchester. Beliau salah seorang yang terhebat, bukan saja disebabkan oleh kejayaannya tapi apa yang dilakukan terhadap negara yang didudukinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 11:17 AM