CITY hampiri kejuaraan selepas membelasah Newcastle. -FOTO Reuters
CITY hampiri kejuaraan selepas membelasah Newcastle. -FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pep Guardiola berkata beliau tidak pernah meragui keupayaan Manchester City bangkit daripada kekecewaan kegagalan di Liga Juara-Juara selepas membelasah Newcastle 5-0 untuk menghampiri gelaran juara Liga Perdana.

Dua gol dari Raheem Sterling dan jaringan Aymeric Laporte, Rodri dan Phil Foden menyaksikan skuad Guardiola kini tiga mata mengatasi Liverpool dengan mempunyai baki tiga perlawanan dalam tangan.

City juga kini mempunyai kelebihan empat gol ke atas Reds menerusi perbezaan gol yang masih boleh menentukan kejuaraan jika juara bertahan itu tewas dalam satu daripada baki perlawanan menentang Wolves, West Ham dan Aston Villa.

"Jika sesetengah orang meragui kami, mereka tidak mengenali pasukan ini," kata Guardiola.

"Ia adalah salah satu pasukan terbaik yang pernah saya latih dalam hidup saya.

"Ia adalah hari yang sempurna. Sebelum bermula, saya merasakan penonton kami kecewa tetapi mereka tidak kecewa dan marah terhadap kami sebagai satu pasukan dan apa yang kami lakukan selama lima tahun ini terakhir ini."

Gelaran juara liga adalah satu-satunya trofi yang tinggal untuk diperjuangkan City selepas peluang mereka mara ke final Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut gagal apabila tewas kepada Real Madrid Rabu lalu.

Gergasi Sepanyol itu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk memenangi separuh akhir dengan agregat 6-5 dan akan bertemu Liverpool pada final di Paris.

"Apa saja boleh berlaku, jika ia berlaku dalam tempoh 56 saat (menentang Madrid), ia boleh berlaku dalam tiga perlawanan. Jadi bertenang dan bersedia untuk bertemu Wolves Rabu ini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 7:49 AM