Boban waspada dengan ancaman lawan. FOTO NSTP
Boban waspada dengan ancaman lawan. FOTO NSTP
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) tetap menghormati UKM FC apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada aksi final pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam esok.

Bagi pengendali JDT II, Ervin Boban menegaskan UKM FC bukan calang-calang pasukan dan keupayaan skuad bimbingan Sulaiman Hussain layak ke final untuk musim kedua berturut-turut membuktikan mereka memiliki kualiti dan kredibiliti.

Katanya, sasaran utama memenangi perlawanan pertama menjadi agenda utama skuad Merah Biru itu bagi memastikan bekalan selesa akan di bawa untuk final kedua yang akan diadakan di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras, 12 Oktober ini.

"Final pertama di laman sendiri amat penting buat kami untuk mencari bekalan selesa dan setiap pemain tahu apa yang perlu dilakukan apabila berdepan UKM FC malah mereka juga tampak bersemangat untuk mengharungi 90 minit perlawanan.

"Kita jangkakan ia perlawanan sengit dan berintensiti tinggi kerana UKM FC tidak kurang hebatnya.

“Jika mereka tidak hebat sudah tentu mereka tidak akan beraksi di pentas final. Oleh itu kami harus berjaga-jaga dengan ancaman pasukan lawan.

"Walaupun mereka menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kelapan. Itu cerita lama dan mungkin mereka tampil dengan lebih agresif memandangkan aksi final timbal balik berbeza dengan saingan liga dan dalam bola sepak macam-macam boleh terjadi," katanya.

Pada aksi separuh akhir piala berkenaan, skuad Boban mara ke pentas final selepas menang 4-2 secara agregat dan kelebihan beraksi di laman sendiri, malam esok harus digunakan sepenuhnya buat pasukan itu untuk memenangi aksi final pertama sebelum bertandang ke Cheras, Kuala Lumpur.

Apapun, Boban tampak lega tatkala bakal menyenaraikan kesebelasan terbaik apabila bakal mempertaruhkan pemain tengah Nicolas Fernandez mengemudi jentera tengah sambil dibantu S Kumaahran dan Hasbullah Abu Bakar.

Malah kelibat Mohamad Ghaddar juga kemungkinan dipertaruhkan mengemudi jentera serangan dan Rozaimi Abd Rahman bersama Khairullah Halim dan Ramadhan Saifullah Usman bakal diturunkan untuk menguatkan jentera serangan.

"UKM FC yang muncul naib juara musim lalu tidak mahu kecewa lagi. Tapi kami juga tidak mahu terlepas peluang memburu kejuaraan pertama piala berkenaan sebagai hadiah untuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim," kata Boban.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 4:27 PM