PEMAIN JDT II meraikan kejayaan muncul juara Piala Cabaran musim ini. — FOTO Zulfadhli Zulkifli
PEMAIN JDT II meraikan kejayaan muncul juara Piala Cabaran musim ini. — FOTO Zulfadhli Zulkifli
Firdaus Hashim


KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menjulang Piala Cabaran adalah hadiah terbaik buat pemilik kelab Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak berkorban untuk memastikan kejayaan itu.

Pengendali JDT II, Ervin Boban mengakui Tunku Ismail adalah tulang belakang kepada kejayaan sulung skuad ‘feeder club’ JDT itu apabila menundukkan UKM FC 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 secara agregat.

“Tanpa Tunku Ismail kami tidak akan meraihnya. Sejak mula lagi beliau banyak memberi sokongan kepada jurulatih dan pemain.

“Ini hadiah buatnya dan kami cukup gembira atas kejayaan menjulang trofi pertama kami,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi malam tadi.

ROSKAM (kanan) menjaringkan gol UKM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi. — FOTO Zulfazhli Zulkifli
ROSKAM (kanan) menjaringkan gol UKM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi. — FOTO Zulfazhli Zulkifli

Pada aksi final kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, JDT II yang memiliki bekalan satu gol susulan kemenangan 1-0 di Pasir Gudang minggu lalu gagal mempertahakan kelebihan itu.

Sebaliknya, UKM FC tampil lebih garang dan menyamakan agregat pada minit ke-81 apabila hantaran silang Milad Zanidpour ditampan masuk Mateo Roskam untuk memaksa perlawanan ke masa tambahan.

Tonggak import JDT II, Nicholas Fernandez terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti namun Haziq Nadzli menampan dua percubaan terakhir UKM sebelum Fadhli Shas menoktahkan kemenangan serta kejuaraan pertama JDT II.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:45 PM